firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: ‘Virus’ tunggakan gaji yang sekian lama membelenggu Liga Malaysia (Liga M) kini dilihat semakin ke penghujung apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi bayangan masalah itu mampu diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh dua musim lagi.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan optimis pelaksanaan peraturan kewangan Financial Fair Play (FFP) mula menunjukkan ‘taring’ dalam mengawal perbelanjaan kelab sejak dilaksanakan sepenuhnya musim ini.
Menurutnya, petunjuk awal cukup positif apabila kebanyakan kelab kini mencatatkan pendapatan lebih tinggi berbanding perbelanjaan, sekali gus memberi isyarat pemulihan kewangan sedang berlaku.
“Masalah tunggakan yang ada sekarang bukan berpunca daripada musim ini, tetapi liabiliti lama masih perlu diselesaikan. Ada kelab terpaksa gunakan bajet semasa untuk langsaikan hutang lama, sebab itu nampak masih ‘tersangkut’,” katanya.
Beliau menegaskan, keberkesanan FFP tidak boleh dinilai dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga musim untuk benar-benar menstabilkan kedudukan kewangan kelab.
“Ini musim pertama pelaksanaan penuh. Jika diberi ruang hingga musim ketiga, saya yakin isu gaji akan selesai dan liabiliti lain juga dapat dikurangkan dengan ketara,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan kelab supaya terus berdisiplin dalam pengurusan kewangan dan tidak kembali kepada amalan berbelanja melebihi kemampuan.
Katanya, pendekatan berhemah menjadi kunci utama memastikan kestabilan jangka panjang Liga M terus terpelihara.
Mengulas lanjut, Ghani turut memaklumkan pihak liga akan memperketat pemantauan terhadap pelaksanaan FFP termasuk melakukan semakan berkala bagi memastikan setiap kelab mematuhi garis panduan ditetapkan.
Langkah itu dianggap penting bagi memastikan momentum pemulihan kewangan kelab terus konsisten, sekali gus mengelakkan ‘penyakit lama’ kembali menghantui kancah bola sepak tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




