Masih ada 90 minit di Paris

Masih ada 90 minit di Paris
Arteta berang dengan tindakan pemain tengah PSG, Desire Doue (kiri) yang melakukan terjahan keras ke atas Leandro Trossard. Foto Agensi

Arteta berang dengan tindakan pemain tengah PSG, Desire Doue (kiri) yang melakukan terjahan keras ke atas Leandro Trossard. Foto Agensi

PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta yakin pasukannya masih memiliki peluang cerah untuk mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) meskipun tewas 0-1 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Emirates pada awal pagi Rabu.

Dalam perlawanan itu, gol Ousmane Dembele seawal minit keempat sudah cukup untuk memberikan kelebihan kepada wakil Perancis itu yang tampil garang sejak wisel permulaan.

Walaupun Arsenal memperbaiki permainan selepas perubahan taktikal oleh Arteta, The Gunners gagal memecah kebuntuan dan terpaksa akur bahawa misi sukar menanti mereka di Paris minggu depan.

“Kami perlu pergi ke Paris dan menang di sana. Saya percaya kami mampu melakukannya!

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika kami mahu ke final UCL, kami perlu lakukan sesuatu yang istimewa.

“Itulah yang akan kami lakukan di Paris nanti,” tegas Arteta.

Arsenal pernah menewaskan PSG 2-0 pada peringkat kumpulan Oktober lalu, namun skuad bimbingan Luis Enrique jelas lebih tersusun kali ini.

Dominasi mereka di awal permainan membuahkan hasil dan hampir menambah jaringan menerusi percubaan Goncalo Ramos yang menggegar palang pada lewat permainan.

Arsenal yang tampak lebih baik di babak kedua berjaya menemui jaring melalui Mikel Merino, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan kedudukan ofsaid.

Peluang keemasan juga hadir menerusi Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard tetapi penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma tampil cemerlang menafikan percubaan mereka.

“Kami ada dua situasi satu lawan satu dengan Donnarumma. Kalau peluang itu disempurnakan, ceritanya pasti berbeza,” ujar Arteta.

PSG, yang sebelum ini menyingkirkan Manchester City di peringkat kumpulan, serta Liverpool dan Aston Villa di peringkat kalah mati, kini dalam landasan terbaik untuk mara ke final bertemu sama ada Barcelona atau Inter Milan.

Aksi timbal balik dijadualkan berlangsung Khamis depan di Parc des Princes, dengan Arsenal mengintai peluang mencipta sejarah ke final UCL buat kali pertama sejak 2006.

Scroll to Top