norhayati_nordin@hmetro.com.my
Susan Lankester, 63, bukan figura asing dalam kalangan peminat Generasi X (Gen X) yang pernah menonton filem Mekanik pada 1983.
Berganding dengan Allahyarham Azmil Mustapha dan penerbit, Datuk Yusof Haslam dalam filem itu, Susan menjadi pujaan ramai.
Apatah lagi dialog Susan, “orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke…kita orang Malaysia kan?” hingga kini diingati.
Lebih empat dekad berkecimpung dalam bidang lakonan, rezeki Susan masih ada dan hingga kini dia tetap menerima tawaran bintangi drama dan filem.
Apatah lagi, lakonannya masih hebat dan mantap. Maka tidak hairan, apabila Susan tetap berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik.
Bertemu Susan baru-baru ini, walaupun sudah semakin dimamah usia namun dia masih kuat, sihat, bertenaga dan aktif.
Katanya, dia bersyukur masih sihat, boleh bekerja dengan mendapat tawaran berlakon lagi, tetapi pada usia sekarang begitu menjaga pemakanan dan selalu bersenam.
“Sebagai anak seni yang sangat meminati lakonan, saya akan terus bekerja selagi ada tawaran yang sesuai kerana perlu memilih juga setiap watak dan jalan cerita.
“Saya tidak boleh sembarangan terima tawaran yang datang sebab kena nilai watak dan karya berkualiti juga. Saya pun dah berlakon agak lama,” katanya.
Menurut Susan lagi, dia perlu cerewet yang ‘bertempat’ kerana tidak mahu asyik melakonkan karakter hampir sama berikutan inginkan cabaran.
“Watak besar, watak kecil atau tidak ada dialog sekalipun tak mengapa kerana asalkan saya dapati jalan ceritanya bagus dan karakter juga mencabar kerana mahu timba pengalaman.
“Sebagai pelakon Malaysia, saya juga mahu mencuba pelbagai jenis filem, bukan hanya filem Melayu sahaja. Jadi, kita sokong semua cerita yang menggambarkan realiti masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Susan berkata, dia seronok dapat tampil dalam filem Tamil berjudul Macai arahan Sun-J Perumal dengan membawakan watak wanita bisu, termasuk lokasi penggambaran di Jalan Alor dan Pudu.
Jelasnya, dia sanggup menerima watak itu kerana sudah lama ingin berlakon di bawah pengarahan Sun-J Perumal dan peluang kerjasama diperoleh adalah pengalaman berharga.
Susan yang juga pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 di Singapura berkata selepas menang anugerah, dia juga berasakan wajar memilih watak.
“Begitu juga ‘demand’ bayaran lakonan. Kalau saya tidak naikkan harga, bila lagi? Dari dulu bayaran tak pernah berubah. Saya pun kena fikir untuk terus hidup dalam industri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




