Masih ada iman dalam diri jika sentap apabila ditegur

KUALA LUMPUR – Pencetus Ummah (PU) dan pendakwah bebas, PU Syed Bakri percaya tegurannya kepada usahawan sensasi, Liana Rosli atau lebih dikenali Kak KM membuatnya terasa menunjukkan wanita itu masih mempunyai iman dalam diri.

Jelas Syed, dia berdoa agar wanita tersebut dapat berubah kerana nyawa manusia boleh ditarik Allah SWT pada bila-bila masa.

Menurutnya, ramai usahawan yang menjadi jutawan dengan membuat strategi promosi yang mematuhi syariah

“Bila dia sentap dengan teguran saya, itu tanda masih ada iman dalam diri. Berubahlah, kerana nyawa ini bukan dalam kawalan kita. Sekejap sahaja Allah boleh tarik.

“Ramai yang menjadi jutawan dengan berniaga dan membuat iklan yang patuh Syariah. Maka rezeki mereka akan berkat.

“Tetapi jika sebaliknya, pasti tiada keberkatan dalam rezekimu. Sekalipun banyak,” tulisnya di Instagram.

Syed berkata, dia tampil menegur usahawan berkenaan menerusi hantaran sebelum ini kerana Kak KM didakwa ‘menularkan’ dosa secara terbuka menerusi kebanyakan hantaran yang dimuat naiknya di platform media sosial.

“Saya menegur, katanya mengaibkan dia. Sudah selama ini mengaibkan diri sendiri dan keluarga, dia perasan atau tidak? Siapa yang mengaibkan siapa ini?

“Saya menegur secara terbuka kerana dia membuat dan menularkan dosa secara terbuka! Saya tidak perlu penghormatan dari dia.

“Cukuplah Allah menyaksikan bahawa antara benar dan salah itu nyata! Nak sangat jadi perhatian manusia,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial selepas pendakwah itu memuat naik satu hantaran menasihati usahawan tersebut. – MalaysiaGazette