“Masih ada yang ingat saya ni beragama Islam tapi kalau ada yang bertanya saya jawab dengan baik dan pernah berlaku orang ingat saya ni tak puasa sebab makan’.
Demikian respons yang diberikan pelakon Tony Eusoff apabila pernah diminta untuk menunjukkan kad pengenalannya dek kerana makan pada waktu siang pada bulan Ramadan.
Kata Tony ketika ditemui XTRA, kejadian itu berlaku ketika dia singgah di sebuah kedai makan yang terletak di Gua Musang.
“Kejadian tu berlaku sebelum saya mula jadi artis dan saya ada kerja luar di Kelantan, kemudian waktu kami singgah di sebuah kedai nak makan tiba-tiba muncul seorang lelaki minta IC (kad pengenalan).
“Masih ada yang ingat saya ni beragama Islam tapi kalau ada bertanya saya jawab dengan baik dan pernah berlaku orang ingat saya ni tak puasa sebab makan,” katanya.
Tony berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Istimewa Iftar bersama barisan pelakon drama Keluarga Itu yang diadakan di LADO, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Meskipun wajahnya kelihatan seperti orang Melayu, Tony atau nama lengkapnya, Anthony Joseph Hermas Rajiman, berkata, dia sebenarnya beragama Kristian.
Justeru, dia berharap orang ramai jangan terlalu bersikap ‘judging’ selain perlu adab bila mahu bertanya sesuatu kepada orang yang tidak dikenali.
“Masa tu, lelaki tu lihat kad pengenalan, dia pulangkan dan jeling.
“Bagi saya, dia nak periksa kad pengenalan orang pun dah salah dah. Tapi masa tu saya ‘bodoh’sebab beri sahaja kad pengenalan tu walhal hanya polis sahaja yang boleh minta kad pengenalan.
“Jadi bagi saya, jangan suka buat andaian terhadap seseorang dan kalau nak bertanya pun kena ada adab,” jelasnya.