Masih belum ada kerjasama formal Malaysia-Korea Selatan dalam industri pertahanan

Masih belum ada kerjasama formal Malaysia-Korea Selatan dalam industri pertahanan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang industri pertahanan masih belum diwujudkan secara formal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, kedua-dua pihak terus berinteraksi melalui mesyuarat, penganjuran seminar industri pertahanan dan penyertaan dalam pameran pertahanan antarabangsa.

“Kedua-dua negara dalam proses merundingkan memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang industri pertahanan.

“Di samping itu, kerjasama strategik dalam pembangunan keupayaan industri tempatan juga turut dilaksanakan melalui Program Kolaborasi Industri (ICP) yang tercetus melalui kontrak perolehan utama dengan syarikat-syarikat dari Korea Selatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai jalinan kerjasama strategik antara Mindef dan kerajaan Korea Selatan dalam membangunkan keupayaan industri pertahanan tempatan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, ICP itu bertujuan untuk menggalakkan pemindahan teknologi dan pembangunan pengetahuan yang strategik untuk dijadikan pemangkin kepada syarikat tempatan.

“Ia supaya mereka boleh terbabit dalam kerjasama strategik global yang menyumbang kepada pembangunan teknologi dan pertumbuhan industri di dalam negara.

“Terdapat juga syarikat tempatan berkeupayaan dalam pembangunan teknikal dan komersial yang sudah menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat dari Korea Selatan dalam pembangunan kepakaran dan pemindahan teknologi dalam bidang maintenance, repair and overhaul (MRO) peralatan ketenteraan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top