Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat mengimbau semula bantuan yang disalurkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika negara berdepan pandemik Covid-19 enam tahun lalu.
Zaman susah, wabak penyakit landa seluruh dunia
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Timbalan Pengerusi PN itu menyatakan pentadbirannya ketika itu berjaya menyalurkan bantuan kepada rakyat dengan pantas menerusi sistem penyampaian yang cekap, sekali gus membantu mereka menghadapi tempoh sukar sepanjang pandemik.
“Saudara masih ingat zaman Covid?. Waktu itu, macam mana Allah tetapkan saya jadi Perdana Menteri. Tapi zaman susah, zaman wabak penyakit yang melanda seluruh negara dan seluruh dunia.
“Dalam keadaan yang susah itu pun, kerana ini satu amanah dan tanggungjawab, saya pikul. Saya usahakan bersungguh-sungguh, tak tidur siang dan malam, memikirkan bagaimana negara mesti diselamatkan, rakyat kita jangan mati oleh penyakit atau mati kerana tidak ada makanan di atas meja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sembang Santai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Jayor, Bukit Kepong.

Bandingkan BKJ dengan bantuan diberi ketika teraju kerajaan
Dalam pada masa yang sama, Muhyiddin turut membandingkan penyaluran Bantuan Kasih Johor (BKJ) oleh kerajaan negeri ketika ini dengan bantuan yang diberikan semasa beliau menerajui kerajaan.
“Ada orang kata Johor ini dah okey, Menteri Besar hebat bagi bantuan BKJ. Banyak mana? RM200. Waktu zaman saya berapa banyak?
“Bila ada pengumuman Perdana Menteri, semua tunggu depan televisyen nak tengok apa yang Tan Sri Muhyiddin nak umum.
“Bukan ambil masa berbulan. Dalam masa seminggu, tengok dalam akaun bank, dapat duit lagi RM2,000, RM3,000. Betul tak?
“Itu cara kita menguruskan. Waktu saya kita belanja berpuluh-puluh bilion (ringgit), tak ada orang tunggu. Duit masuk terus dalam akaun kerana ada sistem,” katanya.

Untuk rekod, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Sepanjang pentadbirannya, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan melibatkan aspek kesihatan, ekonomi dan sosial bagi membantu rakyat serta perniagaan menghadapi kesan pandemik dan kejatuhan harga minyak dunia.
Sumber: Malaysia Gazette (Reza A Hamid)




