Pelakon berkaliber, Datuk Adi Putra memaklumkan dirinya masih menjalani rawatan dijangkiti kuman pada paru-paru dan batu karang sejak Disember lalu.
Ketika ditemui XTRA, Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 44, berkata dia kini bergantung kepada ubat-ubatan dalam beberapa masa bulan.
“Masih dalam proses penyembuhan, jangkitan ini bukan boleh hilang sehari dua ini. Macam dijangka kuman pada paru-paru mengambil masa sebulan atau lebih untuk sembuh.
“Sekarang pun saya masih mengambil ubat-ubatan atas nasihat doktor,” katanya.
Adi berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi bagi mempromosi sebuah drama akan datang di slot Ramadan Raya TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama pada Selasa.
Ketika disoal bagaimana Adi berlawan dengan rasa sakitnya itu ketika di penggambaran, aktor filem popular Mat Kilau ini mengakui dia menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
“Bergantung kepada ubat pun salah satu usaha tapi selebihnya saya tawakal kepada Allah. Saya hanya memohon doa agar semua urusan saya dipermudah sebab semuanya datang daripada-Nya.
“Selain itu saya akan pastikan saya jaga kebersihan dan kesihatan dengan mendapatkan rehat secukupnya,” katanya.
Terlalu komited dengan kerjaya sepanjang lebih dua dekad dalam industri seni, Adi berkata dia enggan menggunakan masalah kesihatannya sebagai alasan kerana tidak mahu menghampakan peminat.
“Selepas dibenarkan pulang, saya memang terus ke lokasi penggambaran sebab tidak mahu tangguhkan kerja apatah lagi ia melibatkan kru dan pelakon lain,” katanya.
Pada Disember lalu, Adi dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman di paru-paru dan masalah batu karang.



