'Masih terbayang ayah cengkam lengan tahan sakit, mak terbaring' – Anak

'Masih terbayang ayah cengkam lengan tahan sakit, mak terbaring' – Anak

am@hmetro.com.my

Tanjong Karang: “Masih terbayang tangan ayah mencengkam lengan kanan saya dengan raut mukanya menahan kesakitan manakala mak terbaring tidak sedarkan diri.”

Demikian luahan hiba anak bongsu pasangan suami isteri, Yasin Ismail, 67 dan Sabriah Norman, 63 yang maut dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Klang-Teluk Intan, berdekatan GiatMARA Tanjong Karang, di sini petang semalam.

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika motosikal Honda Dash dinaiki pasangan warga emas itu memasuki laluan secara tiba-tiba sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Perodua Bezza.

Muhammad Khairul, 29, berkata ketika kejadian ibu bapanya dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Sungai Terap ke pekan Tanjong Karang.

“Saya sedang berkebun di belakang rumah hanya mengetahui kemalangan itu menerusi saudara yang datang ke rumah sekitar jam 6 petang.

“Saya terus ke tempat kejadian dan dalam perjalanan enggan buat sebarang andaian sebaliknya percaya dengan kuasa Allah SWT yang mak ayah masih ada.

“Setibanya di lokasi, saya nampak mak terbaring manakala ayah pula di tepi jalan yang sebelum itu berada dalam parit.

“Mujur orang awam bantu naikkan ayah ke atas. Saya jumpa ayah dan ajar mengucap dua kalimah syahadah sambil menekup darah yang keluar dari luka pada dahi,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.

Muhammad Khairul berkata, dia kemudian pergi ke Hospital Tanjong Karang dan dimaklumkan doktor bahawa insan kesayangan pergi buat selamanya.

“Kedua-dua kaki saya lembik menerima khabar pilu itu. Tak sangka jadi macam ini namun saya sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Sesetengah orang, Allah SWT uji dengan tarik satu, tapi saya diuji dua sekali diambil. Mungkin ada hikmah di sebalik ujian ini kerana setiap yang Hidup pasti akan mati,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Yasin dan Sabriah sering mengingatkan mereka sekeluarga solat di awal waktu selain menjadi individu yang penyabar dan ikhlas.

Beliau berkata, jenazah ibu bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Terap, jam 1 pagi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kemalangan membabitkan Honda Dash dan Perodua Bezza itu dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit memasuki laluan kereta secara tiba-tiba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top