Masih terbayang cahaya lampu di belakang kereta

Masih terbayang cahaya lampu di belakang kereta

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: “Kalau nampak cahaya lampu dari belakang ketika memandu waktu malam, saya terus teringat kejadian itu, ” kata Mohd Lutfi Radzi, 37, yang masih trauma selepas terbabit dalam kemalangan ngeri sebulan lalu.

Guru agama ini berkata, perasaan itu masih dirasai setiap kali berada di jalan raya lebih-lebih lagi apabila melalui kawasan gelap atau terlihat cahaya kenderaan dari arah belakang.

Bagaimanapun, keadaan itu sudah semakin pulih berbanding minggu pertama selepas kejadian terutama ketika isteri dan anak-anak masih dirawat di hospital.

“Saya memang teringat kejadian itu, ia masih segar dalam ingatan, tapi semuanya beransur pulih.

“Kami sekeluarga tetap perlu harungi dan selepas ini pun saya dan keluarga akan tetap melalui jalan itu untuk pulang ke rumah mentua saya di Kemaman Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang hadir menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada beliau sekeluarga di rumah mereka di Bukit Banyan di sini, semalam.

Pada 9 Jun lalu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu Mohd Lutfi dirempuh sebuah bas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik, Perak ketika dalam perjalanan pulang ke Baling selepas bercuti selepas menyambut Aidiladha di Kemaman.

Dalam kejadian tragis itu, 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban, manakala ramai lagi cedera.

Mengulas keadaan isteri dan dua anaknya yang turut cedera dalam kejadian itu, Mohd Lutfi berkata, mereka kini semakin stabil, namun masih perlu berehat dan dinasihatkan tidak melakukan aktiviti berat.

Isterinya, Nurul Ain Zakaria, 36, sudah boleh melakukan kerja ringan, manakala anak sulung mereka, Nur Aisyah Nafisah, 6, yang patah paha kanan kini mampu bergerak sendiri, namun kaki kanannya masih tidak dibenarkan untuk pijak.

“Isteri saya patah lima tulang rusuk, sekarang dah boleh buat kerja ringan macam sapu sampah dan basuh pinggan. Apabila dia buat kerja dia akan rehat sebentar dan sambung semula perlahan-lahan.

“Anak bongsu, Muhammad Ahsan Nafis, 2, cedera ringan saja cuma lebam dan luka kecil,” katanya.

Mohd Lutfi menjangkakan isteri dan anaknya akan kembali ke sekolah pada September depan bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing.

Sementara itu, Mohd Lutfi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan serta mendoakan mereka sekeluarga.

Katanya, beliau juga memohon maaf kepada pengamal media kerana tidak dapat memberi sebarang kenyataan ketika dirawat di hospital, disebabkan keadaan fizikal dan emosi yang masih lemah ketika itu.

‘Terima kasih juga kepada warga pendidik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling, serta rakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dan SK Tembak atas sokongan moral dan sumbangan yang dihulurkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top