'Masing-masing mahu bikin yang terbaik'

'Masing-masing mahu bikin yang terbaik'

am@hmetro.com.my

MENYUNTIK aura penuh tenaga menjelang Aidilfitri, gandingan ‘tiga serangkai’ Dafi, pempengaruh Ryan Bakery dan penyanyi Indonesia, Farel Prayoga tampil mempertaruhkan lagu raya terbaharu berjudul Raya Yay Yay.

Naskhah terbitan FYP Media hasil ciptaan sepenuhnya Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves.

Menurut Dafi, kerjasama sulung bersama Ryan dan Farel disifatkan sebagai satu memori manis dan eksperimen yang membuahkan hasil luar biasa.

“Rakaman lagu ini sebenarnya berlaku secara tidak sengaja. Apabila ditawarkan pengurusan FYP Media, saya anggap ia peluang terbaik kerana belum pernah bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Dafi mengakui ‘vibe’ lagu yang bertenaga itu menuntut dia memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan Raya Yay Yay tampil lebih berwarna.

Bagi pempengaruh Ryan Bakery pula, lagu yang dihasilkan itu sangat serasi dengan personalitinya yang ceria dan sentiasa mahu menyebarkan aura positif kepada peminat.

“Aidilfitri bukan satu pertandingan. Kita semua harus nikmatinya dengan penuh keinsafan dan menghargai apa yang ada hari ini,” kata Ryan yang mahu kemeriahan berkumpul bersama keluarga diterjemahkan dalam muzik video lagu terbabit.

Sementara itu, Farel Prayoga yang berasal dari Banyuwangi, Indonesia ini menyifatkan projek ini sebagai peluang keemasan kerana ia adalah lagu raya pertamanya sepanjang bergelar anak seni.

“Di Indonesia, fokus lebih kepada lagu bulan Ramadan. Jadi apabila dapat peluang rakam lagu raya di Malaysia, saya memang tak nak lepaskan.

“Walaupun ada kosa kata yang asing dan lucu bagi saya, tapi saya gembira kerana banyak perkara baharu dipelajari sepanjang proses rakaman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top