Masjidil Haram sedia terima jemaah umrah sempena Ramadan

Masjidil Haram sedia terima jemaah umrah sempena Ramadan

MAKKAH: Pengurusan Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi selesai melakukan semua persiapan untuk menerima jemaah umrah yang divaksin pada Ramadan nanti, dengan protokol kesihatan dan langkah pencegahan yang ketat.

Agensi Berita Arab Saudi berkata perkara itu selaras dengan aplikasi Tawakkalna untuk kategori imunisasi (individu yang menerima dua dos vaksin COVID-19 /individu 14 hari divaksin dos pertama COVID-19/individu sembuh dari jangkitan).

Jurucakapnya, Hani Hosni Haider berkata, pihak pengurusan mewajibkan semua pekerja turut disuntik vaksin bagi memastikan keselamatan mereka dan semua pengunjung Masjidil Haram.

Beliau berkata, kerja pensterilan akan dilakukan secara kerap di Dua Masjid Suci itu dan dipergiat sempena kedatangan Ramadan.

Seramai 5,000 pekerja terbabit dalam operasi pensterilan dan pembasmian kuman. Pembersihan dan pensterilan di seluruh Masjidil Haram dilakukan sehingga 10 kali sehari.

Berkenaan umrah, jurucakap itu berkata, pihak pengurusan memperuntukkan halaman Mataf untuk jemaah umrah saja, membuat 14 laluan untuk tawaf dengan mempertimbangkan jarak fizikal dan tiga laluan paling hampir dengan Kaabah ditetapkan untuk warga emas dan orang kurang upaya.

Katanya, pihak berwajib akan memastikan semua langkah pencegahan akan dilaksana dengan teliti.

Beliau juga meminta semua jemaah bekerjasama dan mematuhi langkah pencegahan serta penjarakan fizikal demi kesihatan dan keselamatan mereka. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top