SEPANG – MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) meluaskan kerjasama strategiknya dengan Qatar Airways Cargo menerusi pelancaran bersama operasi pesawat kargo khas dua kali seminggu menghubungkan Kuala Lumpur, Bengaluru dan Doha, sekali gus memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab kargo serantau.
Dalam kenyataan pada Selasa, MASkargo memaklumkan, perkhidmatan baharu itu mengesahkan semula peranan Kuala Lumpur sebagai hab kargo utama yang menghubungkan Asia dengan laluan perdagangan global.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan menggunakan pesawat kargo Boeing 777F Qatar Airways Cargo bagi laluan KUL-BLR-DOH-KUL menyediakan tambahan kapasiti sebanyak 200 tan kargo seminggu antara stesen berkenaan bagi semua jenis produk termasuk kargo am, barangan mudah rosak dan barangan bernilai tinggi.
Katanya, gabungan rangkaian MASkargo di seluruh Asia dengan capaian global Qatar Airways Cargo membolehkan pelanggan menikmati ketersambungan yang dipertingkatkan ke pasaran utama di Asia, Eropah dan Amerika Utara, dengan Kuala Lumpur serta Bengaluru berfungsi sebagai hab khusus.
“Sejak pelancaran operasi pesawat kargo dua kali seminggu ini, lebih daripada 1,000 tan kargo telah diangkut, sekali gus menekankan permintaan pelanggan yang kukuh terhadap ketersambungan kargo yang dipertingkatkan.
“Kerjasama ini terus memperkukuh daya tahan rangkaian, menyokong aliran perdagangan berkaitan Asia serta meluaskan akses ke pasaran antarabangsa utama dalam persekitaran perdagangan global yang semakin dinamik,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan menggunakan pesawat kargo Boeing 777F Qatar Airways Cargo bagi laluan KUL-BLR-DOH-KUL menyediakan tambahan kapasiti sebanyak 200 tan kargo seminggu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Mark Jason Thomas berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab kargo strategik yang menghubungkan Asia dengan laluan perdagangan global utama.
Beliau berkata, melalui rangkaian penumpang dan pesawat kargo sedia ada, MASkargo terus menyokong aliran kargo merentasi pasaran serantau dan antarabangsa yang penting, manakala kerjasama dengan Qatar Airways Cargo membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan bersama bagi menawarkan ketersambungan, fleksibiliti dan nilai yang lebih besar kepada pelanggan.
“Selaras dengan cita-cita pertumbuhan kami yang lebih luas, kerjasama ini menyokong fokus kami dalam mengoptimumkan rangkaian kargo melalui ketersambungan yang dipertingkatkan, fleksibiliti operasi yang lebih besar dan penyelesaian logistik yang lebih tangkas bagi memenuhi permintaan perdagangan global serta pergerakan pengangkutan bernilai tinggi yang sentiasa berkembang,” katanya.
Menurutnya lagi, MASkargo akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukannya sebagai rakan kongsi kargo dan logistik serantau menerusi kerjasama strategik, peluasan ketersambungan serta penyelesaian yang mengutamakan pelanggan.
Tambahnya, kerjasama berkenaan turut memperkukuh cita-cita jangka panjang MASkargo untuk mengangkat Kuala Lumpur sebagai hab kargo serantau utama di samping menyokong pergerakan barangan bernilai tinggi yang memacu ekonomi digital, pembuatan termaju dan perdagangan antarabangsa.



