KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN di Jakarta, esok menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa yang menanti untuk melihat apakah pertubuhan dengan 10 negara anggota itu dapat mencari penyelesaian yang jelas untuk krisis di Myanmar.
Ahli bersekutu Pusat Regionalisme ASEAN, Universiti Malaya, Dr Rahul Mishra, berkata ASEAN kini mendapat tumpuan luar biasa antarabangsa terutama masyarakat madani dan oleh itu ia perlu segera menunjukkan hasil nyata dalam isu Myanmar.
Namun, Mishra berkata, ASEAN tidak mungkin mengambil langkah tegas terhadap Myanmar seperti Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan ke atas Myanmar.
“Kita juga harus menerima hakikat yang ASEAN tidak berhasrat untuk mengenakan sekatan, menyingkirkan atau menggantung Myanmar seperti diinginkan masyarakat antarabangsa.
“Hala tuju ke depan adalah ASEAN perlu terus melakukan yang terbaik, iaitu pendekatan diplomatik untuk merundingkan pemulihan demokrasi di Myanmar serta membenarkan masyarakat Rohingya pulang ke tanah air mereka,” katanya kepada Bernama.
Mishra yang juga pensyarah kanan di Institut ASIA-Eropah mengatakan apa yang lebih penting sekarang adalah junta tentera mesti segera menghentikan kekerasan melampau terhadap penunjuk perasaan serta konflik yang masih berterusan dengan kumpulan penentang junta.
Namun, beliau menyatakan perdamaian yang berkekalan di Myanmar juga tidak dapat dijamin tanpa Tatmadaw (angkatan tentera Myanmar).
“Kita juga harus menerima kenyataan bahawa sudah waktunya untuk melangkaui gandingan Tatmadaw-NLD (Liga Demokratik Kebangsaan) dan membabitkan semua komuniti etnik dalam mencari penyelesaian damai untuk krisis ini berdasarkan prinsip bersatu,” katanya.
Myanmar digemparkan oleh pergolakan politik dan kemanusiaan berikutan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.
Sehingga kini, lebih 700 penunjuk perasaan anti kudeta dibunuh oleh pasukan tentera sementara pemimpin utama awam termasuk Aung San Suu Kyi masih dalam tahanan.
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, telah mengesahkan kehadiran mereka pada mesyuarat esok yang dipengerusikan oleh Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah di sekretariat ASEAN di Jakarta.
ASEAN, ditubuhkan pada 1967 dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




