Masyarakat diseru terus bersolidariti melalui doa, sumbangan

Masyarakat diseru terus bersolidariti melalui doa, sumbangan

PELBAGAI kezaliman dan penindasan terus dilakukan oleh rejim Zionis walaupun perjanjian gencatan senjata telah dimeterai seolah-olah rakyat Palestin tiada hak untuk hidup di atas tanah air mereka sendiri.

Serangan demi serangan dibuat ke atas mereka tanpa mengira golongan wanita, warga emas dan kanak-kanak, mereka terus dibom dan dibedil tanpa belas ihsan kemanusiaan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel terkini mereka sekali lagi menyeru masyarakat untuk terus bersolidariti terhadap rakyat dan negara Palestin melalui doa dan terus menyumbang dalam pelbagai bentuk bantuan.

Menurutnya, pada ketika ini Palestin sedang mengalami fasa yang paling kritikal yang pernah dihadapi mereka dalam sejarah perjuangan menuntut kembali hak tanah air yang dirampas dan melawan penjajahan rejim Zionis.

“Hal ini rentetan daripada kerakusan dan kezaliman rejim Zionis yang tidak mengendahkan sedikit pun sebarang perjanjian atau undang-undang antarabangsa yang telah dimeterai oleh mereka sendiri.

“Keadaan semasa ini mengingatkan kita kepada sabda Rasulullah SAW yang menyifatkan umat Islam dikepung dan direbut sebagaimana makanan direbut di dalam pinggan,” jelasnya dalam artikel Bayan Linnas siri ke-310 yang disiarkan pada Isnin.

SALAH seorang individu kelihatan memegang plakad ‘Palestine, We are One’ sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Foto Bernama

SALAH seorang individu kelihatan memegang plakad ‘Palestine, We are One’ sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Foto Bernama

Sabda Rasulullah SAW: “Kelak bangsa-bangsa di dunia akan merebutkan kalian sebagaimana direbutnya makanan di atas pinggannya.” Salah seorang sahabat bertanya: “Adakah jumlah kami sedikit pada waktu tersebut?”

Rasulullah SAW menjawab: “Tidak. Bahkan kalian pada hari tersebut sangat ramai, namun kalian seperti buih-buih di lautan. ALLAH SWT akan mencabutkan rasa takut terhadap kalian daripada dada-dada musuh dan DIA akan mencampakkan penyakit al-wahan dalam hati kamu.” Sahabat itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah SAW, apakah itu al-wahan?” Baginda SAW bersabda: “Cinta akan dunia dan takut kepada mati.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Melihat kepada keadaan semasa ini ujarnya, Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada 4 April lalu telah mengeluarkan satu fatwa berkaitan kewajipan berjihad mengangkat senjata di Palestin.

Menurut Presidennya, Syeikh Dr Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa kesatuan tersebut telah memutuskan beberapa perkara seperti berikut:

1 – Kewajipan berjihad dengan senjata ke atas setiap muslim yang berkemampuan.

2 – Kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam.

3 – Kewajipan mengepung penjajah haram Zionis daripada darat, laut dan udara.

4 – Kewajipan memberikan pertolongan kepada golongan pejuang dari sudut ketenteraan, kewangan, politik dan undang-undang.

5 – Kewajipan menubuhkan pakatan ketenteraan Islam untuk melindungi umat Islam dan menentang pencerobohan.

6 – Mengharamkan normalisasi dengan rejim Zionis.

7 – Mengharamkan penyediaan petroleum dan gas kepada rejim Zionis.

8 – Mengkaji semula semua perjanjian damai yang telah ditandatangani antara negara-negara Arab dengan rejim Zionis.

9 – Kewajipan berjihad dari sudut ekonomi untuk membantu saudara kita di Gaza dan mempercepatkan pembukaan sempadan.

10 – Seruan kepada komuniti Islam di Amerika Syarikat untuk mendesak Trump dan pemerintahannya untuk memenuhi janji pilihanraya dengan menghentikan pencerobohan dan mewujudkan keamanan.

TERUSKAN berdoa demi kesejahteraan rakyat dan negara Palestin. Foto Bernama

TERUSKAN berdoa demi kesejahteraan rakyat dan negara Palestin. Foto Bernama

Dalam perkembangan semasa juga tambahnya, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) bersetuju dan menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar untuk diadakan satu perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) bagi meneliti secara mendalam fatwa ini dan membincangkan implikasi daripadanya.

“Usaha-usaha lain yang seiring juga terus giat dijalankan bagi membantu saudara kita di Palestin seperti Tabung Kemanusiaan Palestin yang telah ditubuhkan.

“Di kesempatan ini juga, pihak JMWP ingin menyeru seluruh umat Islam mengambil tahu dan peduli tentang nasib yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin serta bersikap empati terhadap musibah yang menimpa mereka.

“Ini sepertimana sifat orang mukmin yang disifatkan oleh Rasulullah SAW yang apabila ada saudara seIslam ditimpa musibah maka seluruh orang Islam akan merasa kesan penderitaan mereka,” jelasnya.

Sabda Baginda SAW: “Perumpamaan orang yang beriman dalam berkasih sayang, kecintaan dan simpati seperti tubuh badan yang satu iaitu apabila salah satu anggota badan berasa sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan ditimpa demam.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Di samping itu katanya, kita juga hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh dengan menggunakan semua kemampuan dan upaya yang dimiliki.

SOLIDARITI berterusan wajib dilakukan bagi menyokong perjuangan rakyat Paletin yang ditindas kejam. Foto Bernama

SOLIDARITI berterusan wajib dilakukan bagi menyokong perjuangan rakyat Paletin yang ditindas kejam. Foto Bernama

“Terdapat banyak cara dan usaha yang masih boleh digerakkan walaupun tidak sebesar yang ditagih oleh rakyat Palestin, namun sekurang-kurangnya kita menggerakkan usaha kita pada peringkat peribadi disebabkan oleh keimanan dan semangat persaudaraan Islam.

“Usaha yang berterusan dalam memberi sokongan kepada Palestin adalah wajib dan merupakan tuntutan kepada setiap orang Islam dalam situasi yang dihadapi oleh mereka sekarang,” katanya.

Tambahnya, Qunut Nazilah juga hendaklah diteruskan selagi kezaliman ini tidak berakhir.

“Sokongan sebegini akan memberi satu semangat kepada rakyat Palestin dan juga akan menarik perhatian negara-negara seluruh dunia untuk bersama mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Zionis-Israel.

“Kesatuan padu dalam kalangan negara-negara yang menentang kezaliman akan memberi tekanan kepada Zionis-Israel untuk menghentikan kekejaman terhadap Palestin,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pada hakikatnya umat Islam sekarang berada dalam situasi yang sangat genting dalam menentukan masa depan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

“Kita sebagai umat Islam yang sedang menyaksikan dan memerhatikan perkembangan ini seharusnya mempunyai sikap yang ingin berusaha dengan segenap upaya untuk memastikan impian ini kekal menyala.

“Oleh yang demikian, apa jua usaha dan sumbangan yang kita lakukan dengan meniatkan untuk membantu agama ALLAH SWT dan saudara kita, tidak kira sekecil apa pun, akan menjadi saksi serta hujah kepada kita kelak di hadapan ALLAH bahawa kita turut sama-sama berkorban dan berusaha membantu perjuangan ini,” pesannya.

Scroll to Top