Petaling Jaya: Sejenak kita menelusuri pertumbuhan Islam dari zaman awal kemunculannya sehingga kini, sudah pasti kita dapat melihat betapa agung dan sucinya perjalanan sebuah agama suci ini. Agama Islam yang tumbuh di bumi Arab berkembang ke serata dunia dari hujung ke hujung benua yang lain. Islam telah menjadi agama yang paling pantas berkembang di muka bumi ini dan hampir semua negara mempunyai orang Islam sebagai penduduk asalnya. Agama Islam rasmi sampai ke kawasan ASEAN diperkirakan pada abad ke-10 masihi melalui pedagang Arab yang datang bukan sahaja untuk menjual barangan mereka tetapi juga bertujuan untuk menyebarkan syiar Islam. Tidak terkecuali juga kepada sebuah negara yang bernama Khmer atau nama modennya adalah Kemboja.
Agama Islam memasuki wilayah Kemboja pada akhir abad ke-13 melalui perdagangan seperti mana wilayah-wilayah yang lain. Orang-orang Arab menyebarkan syiar Islam kepada penduduk di sana. Sehingga kini, jumlah umat Islam di sana menjadi minoriti dengan kiraan sekitar 600,000 orang sahaja. Melihat kepada tajuk di atas, kita ingin mengungkapkan apakah yang berlaku kepada masyarakat Islam di sana. Seperti yang kita tahu, kaum minoriti di sesebuah negara biasanya akan ditindas dan diperlakukan secara tidak adil. Sebagai contoh, kaum Uyghur yang merupakan masyarakat minoriti yang beragama Islam di China yang ditekan dan diperlakukan secara tidak adil oleh pihak kepimpinan di China. Akan tetapi, apakah yang dilalui oleh masyarakat minoriti Islam di Kemboja? Adakah mereka juga melalui perkara yang sama seperti kaum Uyghur?
Mengikut catatan sejarah, pada awal kedatangan Islam di bumi Kemboja, struktur masyarakat di sana masih menganut agama Hindu-Buddha. Kedatangan Islam tidaklah diterima secara meluas dan sangat sedikit bilangan orang yang memeluk agama Islam. Kebanyakannya bertumpu di pusat-pusat perniagaan seperti Phnom Penh. Masyarakat yang memeluk agama Islam biasanya terdiri daripada masyarakat Cham yang melarikan diri dari Champa selepas kejatuhan empayar Champa. Mereka masih dilayan secara baik oleh pemerintah pada ketika itu tetapi masih hidup terasing dari masyarakat Khmer. Masyarakat minoriti Islam pada ketika itu juga mula mengamalkan tradisi Islam secara lebih tersusun dan hidup berkomuniti. Tetapi, lain pula ceritanya apabila makin meningkat bilangan tahun.
Salah satu tragedi paling menyayat hati yang terpaksa dilalui masyarakat Muslim di Kemboja adalah pada tahun 70-an. Pada ketika itu, rejim kejam dikenali sebagai Pol Pot melakukan genosid yang ditumpukan kepada masyarakat Islam di sana. Pelbagai perkara kejam dilakukan seperti pembunuhan cendekiawan dan ulama, perobohan masjid-masjid dan ibadah juga dilarang pada ketika itu. Salah satu perbuatan yang mencela umat Islam pada ketika itu adalah al-Quran turut dibakar. Tetapi, apakah pandangan negara lain tentang pembantaian umat Islam di Kemboja pada ketika itu?
Sejujurnya, negara-negara lain mendapatkan maklumat yang sangat terhad dek kerana amalan ‘pintu tertutup’ yang dilakukan oleh Pol Pot. Negara Islam lain seperti Malaysia dan Indonesia sebagai contoh, hanya berjaya memberikan bantuan apabila masyarakat Muslim di sana melarikan diri ke Malaysia dan Indonesia. Sangatlah menyayat hati apabila kita memikirkan tentang keadaan yang berlaku pada ketika itu. Bayangkan, ahli keluarga dibunuh, imam-imam ditangkap dan diseksa, ibadah tidak dapat dilakukan dan agama Islam dicarik sewenang-wenangnya, tetapi orang luar tidak dapat menyalurkan bantuan yang wajar dek kerana pemerintahan kuku besi yang menutup segala informasi dari terlepas keluar. Wajarlah masyarakat Islam di Kemboja pada ketika itu melarikan diri dan menetap di negara lain. Sehingga kini, masyarakat Muslim di Kemboja hanya terdiri daripada 3-5% sahaja tetapi mereka hidup dengan tenang kerana keterbukaan pemerintah sekarang.
Masyarakat Muslim di Kemboja pada ketika ini tidak lagi ditekan seperti dahulu. Agama Islam diiktiraf oleh kerajaan Kemboja sebagai sebuah agama minoriti. Majlis Agama Islam Kemboja juga ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal masyarakat minoriti Islam di sana. Penyebaran masyarakat Muslim juga menjadi lebih besar. Masyarakat Muslim lebih tersebar di seluruh negara, tetapi kebanyakannya bertumpu di Phnom Penh, Kampong Cham, Kampot dan Takeo. Negara-negara lain turut membantu masyarakat Muslim di sana dengan memberi bantuan terutamanya dari segi pendidikan. Dari segi ekonomi pula, boleh dikatakan masyarakat Muslim di Kemboja masih berada dalam golongan berpendapatan rendah, tetapi mereka perlahan-lahan memajukan ekonomi mereka tersendiri melalui sektor pertanian, perikanan, perniagaan , perkhidmatan dan perdagangan.
Begitulah kira-kira apa yang dilalui masyarakat Muslim di Kemboja dari awal datangnya Islam ke sana sehingga kini. Walaupun terpaksa melalui jerih payah untuk mendapatkan kebebasan pada ketika dahulu, kini mereka menikmati kehidupan mereka sebagai masyarakat minoriti Islam tanpa perlu takut akan pemerintahan kejam. Tetapi, walaupun masyarakat Islam di sana kian damai, jangan pula kita lupa untuk mendoakan masyarakat Islam yang kini melalui penderitaan yang sama seperti di Sudan, Congo dan Palestin. Marilah kita sama-sama mendoakan agar keamanan kembali tercapai di negara-negara tersebut. Aamiin Ya Rabb.
Oleh: Nur Firdaus Iskandar bin Zulkarnain
Mahasiswa Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.



