zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi sempat berjumpa dengan legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho di Dubai sebelum menyertai skuad Harimau Malaya bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Perkara itu dikongsikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dengan memuat baik gambar santainya bersama bekas bintang Barcelona dan AC Milan itu di Instagram sambil menulis “apabila legenda bertemu legenda”.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan adakah Krasniqi mendapatkan sedikit ‘tips’ daripada Ronaldinho sebelum menyertai skuad Harimau Malaya buat kali pertama bagi mengharungi baki tiga aksi penting dalam kempen kelayakan bulan depan.
Krasniqi atau turut dikenali Mat Don dan tiga lagi pemain kebangsaan yang berpengkalan di luar negara termasuk Junior Eldstal, Dominic Tan serta Luqman Hakim Shamsudin akan terus terbang ke Dubai untuk bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang akan berlepas ke sana, esok.
Krasniqi kini beraksi di Liga Australia bersama Newcastle Jet selepas dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Februari lalu.
Pemain tengah berusia 29 tahun itu secara rasmi menjadi pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh apabila mendapat kerakyatan Malaysia pada Februari tahun lalu.
Dia yang berasal dari Kosovo bagaimanapun belum berkesempatan menyarung jersi skuad Harimau Malaya selepas beberapa perlawanan persahabatan dan aksi kelayakan yang sepatutnya berlangsung tahun lalu terpaksa dibatal atau ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Krasniqi berpeluang membuat penampilan sulung bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada aksi persahabatan menentang Kuwait pada 23 Mei ini sebelum satu lagi perlawanan pemanas badan berdepan Bahrain di Manama, 28 Mei.
Bagi aksi kelayakan, Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum (11 Jun) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum (15 Jun).
Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0).
© New Straits Times Press (M) Bhd




