MAT Kelantan 2025: 150 Peserta Redah Laluan Lasak 4×4 di Gua Musang

MAT Kelantan 2025: 150 Peserta Redah Laluan Lasak 4×4 di Gua Musang

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejohanan sukan lasak 4×4 bertaraf nasional, Malaysia Adventure Trophy (MAT) Kelantan 2025, membuka tirainya, hari ini, dengan penyertaan 150 peserta.

Penyertaan itu membabitkan pemandu, kru sokongan serta peminat sukan permotoran dari seluruh negara.

Pengarah operasi program berkenaan, Atan Aris berkata, penganjuran MAT Kelantan 2025 berlangsung hari ini hingga 1 Januari nanti dengan merentasi beberapa lokasi utama termasuk Gua Musang, Gua Ikan (Dabong), Kuala Krai, FMC Kelah Eco Park dan Istana Sangkut, Kelantan.

Katanya, destinasi itu dipilih bagi mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi utama pelancongan pengembaraan dan sukan lasak negara.

“Pertandingan ini ada tiga kategori utama iaitu Adventure, Trophy dan Open yang masing-masing menguji ketahanan fizikal, kemahiran pemanduan teknikal, keupayaan navigasi serta kerjasama berpasukan dalam laluan hutan dan sungai yang mencabar.

“Kejohanan ini turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan peserta, pemanduan beretika dan pemeliharaan alam sekitar selari dengan prinsip kelestarian serta amalan off-road yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim, di Taman Etnobotani di Gua Musang.

Turut hadir, ADUN Nenggiri, Mohamad Azmawi Fikri Abdul Ghani; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR, Datuk Zawawi Othman; Ketua Jajahan Gua Musang, Mohd Roshdi Ismail dan Pengerusi Program, Thomas Foo.

Selain merancakkan aktiviti sukan permotoran katanya, MAT Kelantan 2025 dijangka memberi impak ekonomi positif kepada komuniti luar bandar.

“Ini termasuk pengusaha kecil, penyedia perkhidmatan tempatan dan sektor pelancongan sepanjang tempoh penganjuran.

“Majlis penutup dan penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada 1 Januari nanti di Dewan Dato Ariffin Said, Gua Musang.

“Ia adalah kemuncak kejohanan serta sempena sambutan Tahun Baharu 2026,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top