'Mat rempit' tunjuk belang di ibu kota tumpas

'Mat rempit' tunjuk belang di ibu kota tumpas

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aksi sekumpulan ‘mat rempit’ yang cuba menunjukkan belang di jalan raya tumpas apabila diserbu dalam Op Selamat 25 menerusi operasi bersepadu di beberapa lokasi panas di sekitar ibu negara, semalam hingga awal pagi ini.

Operasi dijalankan dalam dua fasa membabitkan fasa 1 di Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh hala Chow Kit serta Jalan Ipoh arah Sentul.

Fasa dua pula tertumpu di Jalan Raja Laut yang sering menjadi lokasi tumpuan penunggang motosikal pada hujung minggu.

Tinjauan Harian Metro ketika operasi yang bermula pada 10 malam hingga 4 pagi itu, mendapati beberapa penunggang bertindak agresif sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ada yang cuba melarikan diri sehingga melanggar kenderaan pihak berkuasa sebelum meninggalkan motosikal di lokasi dan meloloskan diri dalam keadaan kelam-kabut.

Tidak kurang juga yang cuba berpatah balik secara mengejut bagi mengelak dikesan, namun tindakan itu mengundang perhatian anggota operasi.

Antara yang ditahan ialah remaja dikenali sebagai Lim, 17, dari Setapak.

Dia mengaku tidak memiliki lesen memandu dan kononnya baru bercadang untuk mengambilnya dalam masa terdekat.

“Saya bawa motosikal ayah, jalan-jalan malam minggu dengan kawan. Selalu berlumba dekat Puchong.

“Motosikal pernah ubah suai sampai RM7,000 tapi sekarang dah standard balik. Semua tu saya guna duit ayah.

“Ayah pun tak tahu saya datang sini sebab tengah tidur, tak nak kacau,” katanya kepada Harian Metro.

Dia turut memaklumkan terdapat komuniti motosikal di kawasan tempat tinggalnya yang sering berkumpul sebelum keluar berkonvoi.

Sementara itu, seorang lagi remaja, Arsyad, 19, dari Pantai Dalam, turut mengaku tidak mempunyai lesen memandu selain pernah berdepan tindakan sebelum ini kerana terbabit lumba haram.

“Saya pinjam motosikal kawan. Sekarang, kerja jual kuih dekat Bangsar. Motor sebelum ini dah kena sita sebab lumba haram dekat Dataran Merdeka.

“Malam ini pinjam motosikal kawan jalan-jalan. Salah motosikal kawan guna nombor ‘fancy’ dan tiada nombor plat depan,” katanya.

Operasi itu adalah hasil kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Operasi bersepadu berkenaan memfokuskan kesalahan lalu lintas termasuk tiada lesen memandu, kesalahan nombor pendaftaran serta pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut spesifikasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top