Mat Sabu tegaskan politik mesti bawa rahmat, bukan kebencian -“Kuasa bukan matlamat akhir”

Mat Sabu tegaskan politik mesti bawa rahmat, bukan kebencian -“Kuasa bukan matlamat akhir”

Politik dan kuasa bukan sekadar soal mendapatkan kedudukan, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu amanah untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Kuasa bukan matlamat akhir

Menurut, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam perkongsian di media sosial, beliau menyatakan dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, politik seharusnya menjadi jalan kepada penyelesaian dan bukannya menyemarakkan kebencian atau perpecahan.

“Kuasa bukanlah matlamat akhir sebaliknya amanah untuk berkhidmat dan meninggalkan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi seterusnya,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia ke-63 hari ini.

Menurut Mohamad, makna Malaysia selepas 63 tahun pembentukannya bukan hanya mengenai mempertahankan pencapaian terdahulu, tetapi turut perlu diterjemahkan menerusi kehidupan rakyat yang lebih adil dan sejahtera.

“Perpaduan perlu dibuktikan menerusi keadilan, sikap saling menghormati serta pembangunan yang dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Mat Sabu tegaskan politik mesti bawa rahmat, bukan kebencian -“Kuasa bukan matlamat akhir”

Foto: FB Mohamad Sabu

Prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin yakni membawa rahmat

Beliau berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang menjadi asas pembentukan Malaysia bukanlah satu kelemahan, sebaliknya kekuatan yang perlu terus dipelihara.

“Prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin yakni membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh alam harus terus menjadi pedoman.
“Kepelbagaian bukan kelemahan sebaliknya kekuatan perlu dipelihara dengan memastikan keadilan, kemanusiaan dan kesejahteraan menjadi asas dalam setiap tindakan tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan amanah pemerintahan perlu diterjemahkan melalui perkara yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat.

“Ia termasuk memperkukuh keterjaminan makanan negara selain memastikan kebajikan golongan petani, pesawah, nelayan dan penternak terus diberi perhatian,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan dan kesejahteraan perlu dirasai seluruh rakyat tanpa mengira lokasi, termasuk mereka yang tinggal di kawasan bandar mahupun desa.

Susulan daripada itu, Mohamad menyatakan Hari Malaysia menjadi peringatan terhadap kesepakatan besar yang membentuk negara apabila Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bersama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

“Malaysia ialah milik kita semua. Dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak, dari bandar hingga ke desa,” ujarnya.

Foto: FB Mohamad Sabu

Sumber: Facebook Mohamad Sabu

Scroll to Top