Mat Zan bukan lagi jurulatih PDRM FC

Mat Zan bukan lagi jurulatih PDRM FC

KUALA LUMPUR: Susulan permulaan buruk dalam kempen Liga Perdana, PDRM FC hari ini melantik bekas pemain kebangsaan Wan Rohaimi Wan Ismail, sebagai ketua jurulatih baharu skuad ‘Sang Saka Biru’ menggantikan Mat Zan Mat Aris.

Menurut kenyataan PDRM FC, pengalaman selama 10 tahun sebagai jurulatih pembangunan dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan skuad Piala Presiden Pulau Pinang, diharap dapat membantu memulihkan prestasi pasukan bagi mencabar kejuaraan Liga Perdana.

“Selama saya berada dalam bidang kejurulatihan selama 10 tahun, saya yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk membina pemain, daripada biasa-biasa kepada luar biasa dan juga pasukan biasa-biasa kepada luar biasa,” katanya dalam kenyataan itu.

Menyedari kedudukan PDRM FC tidak begitu baik selepas lima perlawanan Liga Perdana, Wan Rohaimi yang juga bekas pemain Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor dan Johor FC mengakui berdepan tugas berat, namun mengujakan dalam usaha membawa perubahan kepada pasukan.

“Banyak kerja perlu saya buat iaitu memperbetulkan pasukan dari titik A hingga Z, serta menukar cara pemikiran pemain. Insya-Allah, di penghujung tahun dengan sokongan padu pengurusan kita boleh tengok di mana pasukan PDRM FC akan berada,” kata Wan Rohaimi.

PDRM FC hanya melakar satu kemenangan dan kalah empat perlawanan, ketika di bawah bimbingan Mat Zan sekali gus menduduki tempat kesembilan dengan berkongsi tiga mata bersama Perak FC 2 yang berada di zon penyingkiran.

Tugasan pertama Wan Rohaimi yang berkebolehan beraksi di beberapa posisi iaitu pertahanan, tengah dan penyerang adalah menentang Terengganu FC II pada Sabtu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top