KUALA LUMPUR: Berbicara mengenai mata wang kripto pada satu ketika dahulu, pastinya ia adalah sesuatu yang sangat asing inikan pula untuk dijadikan sebagai pelaburan.
Sebelum ledakan kripto berlaku, hanya sebilangan kecil rakyat di negara ini yang tahu mengenai rantaian-blok (blockchain) dan mata wang kripto.
Namun kini, terdapat perbezaan yang besar terutama pada tahap kesedaran sehinggakan sukar untuk berjumpa dengan seseorang yang tidak pernah mendengar sekurang-kurangnya mengenai Bitcoin.
Tinjauan dilakukan YouGov mendapati 37 peratus rakyat Malaysia tahu utiliti mata wang kripto ialah pelaburan jangka panjang yang menarik untuk dijadikan sebagai aset digital.
Sebanyak 40 peratus pula melihat mata wang kripto adalah simpanan alternatif yang memberikan nilai dan ciri yang menarik.
Bagaimanapun, Malaysia masih di peringkat awal berkaitan penggunaan mata wang kripto. Ini kerana daripada dapatan itu, hanya 14 peratus rakyat negara ini dipercayai memiliki mata wang kripto.
Oleh yang demikian, adalah penting untuk memacu kesedaran mengenai kepentingan aset digital sebagai pelaburan jangka panjang.
Untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai mata wang kripto yang kurang di negara ini, Luno memulakan kempen Maju Bersama Luno bagi membantu rakyat Malaysia memahami dengan lebih baik mengenai kelas aset digital yang semakin berkembang.
Kempen itu juga dilaksanakan bagi memperkasa rakyat negara ini dalam memulakan perjalanan kecergasan kewangan mereka.
Dengan lebih kurang 80 peratus rakyat di negara ini bertutur dalam bahasa Melayu, adalah penting untuk menyampaikan maklumat dalam Bahasa Kebangsaan.
Oleh itu, Luno melabur untuk melancarkan antara muka dan juga kandungan bahasa Melayu dalam aplikasinya dan juga akan meneruskan usahanya dalam mengembangkan kandungan kripto yang lebih banyak secara berperingkat.
Melalui kempen dan kandungan tempatan itu juga, Luno menyasarkan untuk memperkasa rakyat Malaysia dalam membina pemahaman yang lebih kukuh mengenai aset digital dan pelaburan sebagai sebahagian daripada celik kewangan mereka.
Bukan itu saja, Luno juga akan menggunakan pendidikan untuk menghapuskan tanggapan salah mengenai mata wang kripto.
Pengurus Negara Luno Malaysia Aaron Tang berkata, menjadikan kandungan Luno lebih mudah diakses oleh orang ramai mendorong seseorang individu itu ingin dan lebih mengetahui lebih mendalam serta sedar mengenai kepentingan mata wang kripto.
“Oleh itu, dengan menyediakan kandungan yang mudah diakses ini kami berharap dapat melengkapkan rakyat Malaysia dengan alatan yang lebih baik dan sesuai untuk masa depan digital yang semakin meningkat. Ini adalah laluan untuk ke hadapan,” katanya.
Maju Bersama Luno juga tidak hanya akan berhenti di sini kerana Luno mempunyai banyak lagi tawaran menjelang 2023 dan aktiviti yang berterusan. Pendidikan dan kesedaran dalam sesuatu perkara memerlukan komitmen berterusan.
Begitu juga dengan Maju Bersama Luno dan aspirasinya yang mana mahu menghubungkan rakyat Malaysia dengan dunia mata wang kripto serta aset digital.
Pengurus Pemasaran Luno Malaysia, Scarlett Chai – FOTO Luno
Pengurus Pemasaran Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, selain membabitkan duta jenama ini iaitu Pandelela Rinong dan Zaquan Adha, pihaknya juga menyediakan pelbagai aktiviti bagi menyebarkan maklumat dan berita mengenai kripto.
“Ini termasuklah penganjuran jerayawara Maju Bersama Luno. Menerusi jerayawara itu, Luno akan menjelajah ke seluruh negara membawa pelbagai kandungan untuk membantu pengguna mempelajari mengenai aset digital.
“Luno juga akan terus komited untuk mengutamakan pendekatan pendidikan sebagai satu usaha untuk menjadi panduan yang dipercayai pengguna,” katanya.
Melalui jerayawara Maju Bersama Luno yang bermula dari 4 November sehingga 4 Disember ini, orang ramai berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan yang secara tidak langsung mampu membantu mereka mengetahui mengenai rantai blok, mata wang kripto dan mempelajari cara untuk meningkatkan perjalanan kecergasan kewangan mereka.

Antara lokasi yang akan dikunjungi dalam siri jerayawara itu adalah Johor, Pahang, Kedah, Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.
Menambahkan kerancakan penyampaian maklumat dan kesedaran mengenai mata wang kripto, Luno turut melaksanakan ‘Bicara Meja Mamak’ di rakan kongsi mamak terpilih di seluruh negara.
Menerusi program di bawah inisiatif Maju Bersama Luno itu, pengunjung hanya perlu mengimbas kod QR di meja yang akan membawa mereka kepada kuiz interaktif bagi mengetahui mengenai kripto.
Bukan itu saja, secara tidak langsung pelanggan boleh mempelajari dan mendapat maklumat mengenai kripto bersama rakan dan keluarga semasa menjamu selera di kedai mamak.
Bagi pengguna yang ingin mendapatkan akses ke hub kandungan sehenti Luno dalam bahasa Inggeris dan Melayu, layari laman web http://discover.luno.com.
Anda juga boleh melayari laman sesawang https://invest.luno.com/movewithluno-bm bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kempen Maju Bersama Luno.
© New Straits Times Press (M) Bhd



