MATF catat 3,523 tangkapan sepanjang 2023–2025, sita RM6.87 bilion – SPRM

MATF catat 3,523 tangkapan sepanjang 2023–2025, sita RM6.87 bilion – SPRM

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) mencatat pencapaian signifikan apabila melaksanakan sebanyak 3,523 tangkapan sepanjang 2023 hingga 2025, sekali gus mencerminkan keupayaan negara membanteras jenayah rasuah dan kewangan secara bersepadu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya menggambarkan keberkesanan pendekatan menyeluruh dalam mengekang jenayah berprofil tinggi.

“Dalam tempoh ini, sebanyak 3,523 tangkapan dilaksanakan, merangkumi kes berprofil tinggi seperti Ops Samba 2.0, Ops Taufan, Ops Yellow, Ops Counter Setting dan Ops Bunga.

“Lebih penting, kejayaan membongkar sindiket terancang berskala besar melalui operasi seperti Ops White, Ops Kingfruit, Ops X, Ops Sikaro, Ops Metal, Ops Karen dan Ops Grip membuktikan bahawa pendekatan MATF mampu menembusi rangkaian jenayah yang kompleks, tersusun dan merentasi pelbagai sektor,” katanya ketika berucap pada majlis Sesi Libat Urus MATF: Way Forward di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Azam berkata, dari aspek pemulihan aset, pada tahun 2025 sahaja SPRM merekodkan sitaan mencecah RM6.87 bilion, selain pembekuan, pelucuthakan, kompaun dan penyelesaian yang keseluruhannya membabitkan nilai besar serta memberi impak langsung kepada hasil negara.

“Ini adalah mesej jelas bahawa setiap hasil yang diseleweng akan kita jejaki dan kembalikan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, sebagai peneraju MATF, SPRM turut mengetuai pelaksanaan operasi berimpak tinggi seperti Operasi 82S, Ops Tropicana, Ops Eagle dan Ops Liter.

Katanya, pendekatan whole-of-government kini menjadi keperluan dalam menghadapi landskap jenayah masa kini, dengan kejayaan terbabit membuktikan bahawa kerjasama bersepadu antara agensi mampu bukan sahaja mengekang jenayah, malah menghancurkan keseluruhan ekosistem sindiket.

“Di dalam isu penyeludupan e-waste dan sisa plastik haram, berdasarkan

operasi Ops Metal, kita mendapati Malaysia dijadikan destinasi pembuangan sisa haram dari luar negara.

“Aktiviti ini membabitkan pemalsuan dokumen, salah pengisytiharan kargo, serta penyalahgunaan lesen import dan lebih membimbangkan, terdapat elemen rasuah di peringkat penguatkuasaan yang membolehkan kontena ini melepasi pintu masuk negara tanpa pemeriksaan sewajarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Azam berkata, isu itu bukan sekadar isu alam sekitar semata, ia adalah jenayah ekonomi dan kedaulatan negara kerana bukan sahaja menanggung risiko pencemaran, tetapi kehilangan hasil dan reputasi di peringkat antarabangsa.

“Begitu juga dengan kes seperti penyeludupan diesel (Ops Karen) dan penyeludupan tayar (Ops Grip). Aktiviti ini menyebabkan ketirisan hasil cukai mencecah ratusan juta ringgit.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah bagaimana sindiket ini mampu beroperasi dalam tempoh yang lama dan ini menunjukkan wujudnya kelemahan sistem, manipulasi proses dan kemungkinan pembabitan enabler,” katanya.

Mengenai isu mafia korporat, Azam berkata, ia bukan beroperasi secara terbuka, tetapi bergerak secara tersusun, menggunakan struktur korporat yang sah untuk mengaburi penguat kuasa, disokong oleh rangkaian profesional seperti akauntan, peguam, perunding dan orang dalam agensi tertentu.

“Kita perlu melihat realiti hari ini dengan jelas dan tanpa berselindung apa yang kita hadapi bukan lagi jenayah biasa, tetapi satu ekosistem jenayah terancang yang digerakkan oleh apa yang saya istilahkan sebagai Corporate Mafia.

“Mereka ini bukan sahaja melindungi aktiviti haram, malah memanipulasi struktur korporat, membersihkan wang haram, serta memanipulasi sistem untuk memastikan jenayah terus berlaku tanpa dikesan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top