Sydney: Marinko Matosevic, bekas pemain tenis Australia yang kini menjadi jurulatih digantung selama empat tahun pada Selasa kerana melanggar peraturan anti-doping antara 2018 dan 2020.
Bekas pemain nombor 39 dunia itu, yang baru-baru ini membantu melatih pemain Australia Chris O’Connell dan Jordan Thompson, pada mulanya menafikan semua tuduhan.
Namun, dia mengaku melakukan doping darah dalam kenyataan tidak lama sebelum perbicaraan dijadualkan, menurut International Tennis Integrity Agency (ITIA).
Tribunal bebas mendapati dia melakukan lima pelanggaran peraturan anti-doping termasuk ‘menggunakan kaedah terlarang melalui doping darah dan membantu pemain lain melakukan doping darah’.
Dia juga ‘memberi nasihat kepada orang lain tentang cara mengelak keputusan ujian positif, serta penggunaan dan pemilikan bahan terlarang clenbuterol’.
Clenbuterol, ubat yang biasanya diberikan untuk merawat asma dan masalah pernafasan lain disalahgunakan oleh sesetengah ahli bina badan dan atlet sebagai peningkat prestasi secara tidak rasmi.
Matosevic, yang pernah beraksi di keempat-empat Grand Slam digantung daripada sebarang acara atau aktiviti tenis yang dibenarkan atau disahkan oleh ITIA, seperti kejohanan ATP, WTA atau Tennis Australia, sehingga 2030.
Pemain berusia 40 tahun itu juga dilarang menjadi jurulatih atau bekerja dengan mana-mana pemain.
Tiada sebarang cadangan bahawa Chris O’Connell atau Jordan Thompson melanggar sebarang peraturan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




