MATRIX Concepts Holdings Bhd mencatatkan peningkatan 10.4 peratus dalam jualan hartanah baharu kepada RM1.38 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, berbanding RM1.25 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Pencapaian itu sekali gus melepasi sasaran tahunan RM1.3 bilion, didorong permintaan pasaran yang kukuh serta pelancaran baharu di seluruh portfolio pembangunan syarikat, termasuk perbandaran utama di Negeri Sembilan dan Johor serta projek kediaman bertingkat di Lembah Klang.
Prestasi jualan juga disokong oleh penjualan sulung tanah perindustrian dalam pembangunan Malaysia Vision Valley City (MVV City).
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, prestasi kukuh itu mencerminkan keberkesanan strategi kumpulan serta komitmen berterusan dalam menyampaikan nilai kepada pemegang saham menerusi pertumbuhan mampan dan prestasi operasi yang kukuh.
“Melepasi sasaran jualan ini mencerminkan keyakinan berterusan pembeli rumah merentas generasi terhadap produk kami.
“Sejak hampir tiga dekad lalu, kami konsisten dalam membangunkan rumah berkualiti tinggi pada harga berpatutan, yang terus mendapat sambutan kukuh khususnya di Negeri Sembilan, Johor dan Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan.
Bagi tahun kewangan dikaji, pendapatan Matrix Concepts merosot 11.2 peratus kepada RM1.19 bilion berbanding RM1.34 bilion tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan peningkatan marjin keuntungan kasar yang ketara kepada 51.0 peratus daripada 46.4 peratus, disokong gabungan produk yang lebih menguntungkan termasuk pengiktirafan lebih pantas daripada projek perindustrian dan komersial.
Keuntungan bersih keseluruhan berjumlah RM214.1 juta, susut berbanding RM244.3 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2025, pendapatan kumpulan turun 13.6 peratus kepada RM305.2 juta berbanding RM353.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih menyusut kepada RM42.7 juta daripada RM60.6 juta.
Matrix Concepts turut mengisytiharkan dividen interim suku keempat sebanyak 1.35 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen terkumpul bagi tahun kewangan dikaji kepada 6.2 sen sesaham, selepas pelarasan untuk terbitan bonus, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM116.3 juta.
Setakat 31 Mac 2025, jualan belum dibil kumpulan mencecah RM1.46 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan kukuh bagi tempoh antara 15 hingga 18 bulan akan datang.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, Mohamad Haslah berkata, Matrix Concepts berada pada landasan pertumbuhan yang transformatif, disokong oleh pelancaran baharu bernilai RM1.6 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV).
© New Straits Times Press (M) Bhd