Maut dalam perjalanan ke surau untuk solat Tarawih

Maut dalam perjalanan ke surau untuk solat Tarawih

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Perjalanan seorang pelajar Tingkatan Dua untuk menunaikan solat Tarawih berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kampung Dato Hormat, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, malam tadi.

Mangsa yang juga remaja lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam akibat cedera pada kepala dan dalam perut.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, nahas pada jam 8.30 malam itu membabitkan Modenas Kriss dan Yamaha Y16ZR.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang Modenas Kriss dalam perjalanan dari Lorong 7 Kampung Dato Hormat ke Sungai Air Tawar untuk ke surau.

“Ketika membelok ke kanan, motosikal remaja itu dirempuh Yamaha Y16ZR yang datang dari arah belakang.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Yusof berkata, remaja terbabit bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.14 malam.

Manakala penunggang Yamaha Y16ZR yang juga lelaki berusia 28 tahun tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saksi kejadian diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-3328212 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top