Maut ditikam gara-gara minta tambah kacang kuda berkuah

Maut ditikam gara-gara minta tambah kacang kuda berkuah

NEW DELHI – Seorang pemandu kereta persendirian maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh peniaga makanan hanya kerana meminta tambahan hidangan kacang kuda berkuah atau choley di sebuah gerai di Nihal Vihar, Delhi, India.

Mangsa, Sandeep, 35, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Maharaja Agrasen, Punjabi Bagh pada Selasa, dua hari selepas diserang berhampiran Jwalapuri Nala pada Ahad.

Menurut laporan Times of India yang memetik agensi berita Press Trust of India (PTI), kejadian berlaku apabila mangsa meminta tambahan choley ketika membeli makanan tradisional India dikenali sebagai choley bhature.

Permintaan itu didakwa mencetuskan pertengkaran dengan peniaga sebelum bertukar menjadi pergelutan sehingga mangsa ditikam berulang kali.

Laporan perubatan mendapati Sandeep mengalami tiga luka tikaman pada bahagian kiri perut, tiga luka pada lengan kiri serta satu lagi kecederaan di pergelangan tangan.

Mangsa pada mulanya dibawa ke Hospital Memorial Sanjay Gandhi pada malam 25 Oktober sebelum dipindahkan ke Hospital Maharaja Agrasen untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa akibat kecederaan dialami.

Bapa tuntut keadilan

Bapa mangsa, Bijender Singh mendakwa anaknya hanya meminta sedikit makanan tambahan sebelum pertengkaran dengan peniaga bertukar ganas.

“Satu-satunya kesalahan anak saya ialah meminta sedikit tambahan choley daripada peniaga.

“Dia ditikam beberapa kali dan meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama dua hari,” katanya.

Menurut Bijender, dia segera bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kejadian dan dibantu beberapa saksi untuk mengangkat anaknya yang cedera.

Sandeep yang menetap di Rav Vihar, Nihal Vihar bekerja sebagai pemandu persendirian dan meninggalkan seorang isteri serta dua anak lelaki masing-masing berusia empat dan 10 tahun.

Bijender turut mendakwa tiga hingga empat individu terlibat dalam serangan itu, namun hanya seorang suspek ditahan setakat ini.

“Kami mahukan keadilan. Semua individu yang terlibat dalam pembunuhan anak saya mesti dikenal pasti dan ditangkap,” tegasnya.

Sementara itu, polis mengesahkan suspek utama, Chintu Gupta, yang merupakan peniaga makanan berkenaan sudah ditahan dan direman dalam tahanan kehakiman.

Kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 109(1) Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) berkaitan cubaan membunuh.

Bagaimanapun, polis menambah Seksyen 103(1) undang-undang sama berkaitan kesalahan membunuh selepas mangsa disahkan meninggal dunia.

Pihak berkuasa turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan individu lain dalam serangan tersebut. – Agensi

Scroll to Top