Maut ditimbus terowong pasir digali sendiri

Maut ditimbus terowong pasir digali sendiri

Rom: Percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas tertimbus hidup-hidup dalam terowong pasir yang digalinya sendiri di pantai Montalto di Castro, kira-kira 65 batu dari ibu kota Itali, pada Khamis lalu.

Mangsa, Riccardo Boni dipercayai menggali terowong itu menggunakan tangan bersama adik-beradiknya sebelum pasir runtuh dan menimbusnya sepenuhnya tanpa disedari sesiapa.

Lebih memilukan, bapa mangsa cuba menggali dengan tangan kosong dalam keadaan panik untuk menyelamatkan anaknya namun usaha itu gagal.

Menurut laporan tempatan, ahli keluarga mengambil masa lebih 40 minit untuk mengesan lokasi mangsa sebelum adiknya yang berusia lima tahun menjerit, “Riccardo ada di bawah pasir!”

Ketika kejadian, keluarga berkenaan baru tiba dua hari lebih awal dari Rom untuk bercuti di tapak perkhemahan Camping California bersama ibu bapa, kakak berusia 14 tahun dan dua adik lelaki berumur lima dan lapan tahun.

Difahamkan, mereka meletakkan tuala di kawasan berdekatan pantai sebelum mangsa menggali lubang bersama adik-beradiknya di kawasan terpencil sebelum mereka beredar meninggalkan Riccardo (mangsa) sendirian.

Mangsa dipercayai menggali sedalam lima kaki sebelum struktur terowong pasir itu runtuh dan menimbusnya, kata Leftenan Daniele Tramontana dari pasukan Carabinieri yang mengetuai siasatan.

“Kami tidak sedar dia hilang pada awalnya. Selepas menyedari, kami semua menggali untuk cari dia tetapi segalanya sudah terlambat,” katanya.

Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi hanya menemui cermin mata, baju dan selipar milik mangsa di tepi lubang yang runtuh itu.

Seorang saksi berkata terowong yang dibina remaja itu runtuh sepenuhnya menyebabkan tiada siapa nampak dia tertimbus. “Semua orang menggali tapi pasir sangat berat,” katanya.

Seorang lagi saksi pula memaklumkan tiada siapa sempat dengar mangsa menjerit kerana dia tertimbus sepenuhnya dalam masa beberapa minit.

“Pasir pantai sangat berat dan ia tidak membenarkan walaupun sedikit oksigen untuk masuk dan bukan mudah untuk mengeluarkan seseorang kerana pasir cenderung untuk terus runtuh. Beberapa minit sahaja dan anda mati akibat lemas,” katanya kepada media Itali

Polis dan pihak pendakwa raya dari Bandar Civitavecchia sudah membuka kertas siasatan dan akan menentukan sama ada bedah siasat diperlukan untuk mengenal pasti punca kematian.

Datuk Bandar Montalto, Emanuela Socciarelli berkata kepada agensi berita ANSA menyifatkan insiden itu sebagai tragedi mengejutkan.

“Satu tragedi yang benar-benar mengejutkan kita semua, sukar untuk dipercayai bahawa seorang remaja boleh kehilangan nyawa dengan cara sebegini.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah yang setulus hati kepada keluarga ini,” katanya.

Semua acara awam pada 11 Julai dibatalkan sebagai tanda berkabung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top