Maut rempuh kereta buat pusingan U

Maut rempuh kereta buat pusingan U

am@hmetro.com.my

pic Ihsan Tular

Shah Alam: Seorang pemuda maut selepas gagal mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan U di Kilometer 68, Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Jalan Tali Air 1, Sungai Burong, Tanjong Karang malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, nahas membabitkan kereta Proton Saga dan motosikal Yamaha Y15ZR.

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta melakukan pusingan U bagi memasuki simpang di lokasi kejadian.

“Manakala penunggang motosikal yang datang dari belakang merempuh pintu hadapan kiri kereta terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azaharudin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan maut dan mayatnya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu atau menunggang kenderaan dan mematuhi peraturan jalan raya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top