Maxim, InDrive di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan – APAD

Maxim, InDrive di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan – APAD

Kuala Lumpur: Dua syarikat pengendali e-hailing, Aist Malaysia Sdn Bhd (Maxim) dan ID Applications Sdn Bhd (InDrive) perlu menjalani tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula esok walaupun telah dibenarkan untuk terus beroperasi bagi memastikan syarat perkhidmatan dipatuhi.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan wakil syarikat berkenaan dikehendaki hadir ke lbu Pejabat APAD setiap bulan sepanjang tempoh pemantauan bagi memastikan komitmen berterusan kedua-dua syarikat pengendali.

“Bilangan kehadiran bulanan adalah tertakluk kepada keperluan APAD berdasarkan tahap pemantauan dan isu semasa. Sesi ini bertujuan untuk membolehkan APAD melaksanakan pemantauan secara masa nyata dengan semakan rawak terhadap pemandu dilakukan melalui aplikasi InDrive dan Maxim,” menurut kenyataan itu.

APAD memaklumkan tindakan tegas di bawah Seksyen 12A (5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh dikenakan sekiranya syarikat pengendali e-hailing didapati gagal mematuhi mana-mana syarat perkhidmatan yang ditetapkan.

Pada 24 April lepas, APAD mengeluarkan Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) kepada Maxim dan InDrive berkuat kuasa 24 Julai 2025 susulan audit yang mendapati ketidakpatuhan terutama dalam aspek keperluan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).

Berikutan itu, kedua-dua syarikat berkenaan membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan dan telah disyaratkan untuk mengambil tindakan pembetulan sebelum 24 Julai bagi kelangsungan perkhidmatan masing-masing.

“Bagi memenuhi syarat ini, Maxim dan InDrive telah menambah baik sistem pendaftaran untuk memastikan semua pemandu mempunyai EVP yang sah sebelum memulakan tugasan.

“Sebagai langkah tambahan, Maxim dan InDrive juga memberi akses data secara ‘view only’ kepada APAD bagi memudahkan proses semakan silang antara data syarikat dan data EVP di bawah pengurusan APAD,” menurut kenyataan itu.

APAD memaklumkan agensi itu telah melaksanakan semakan rawak pada 11 Julai lepas ke atas pemandu InDrive dan Maxim serta mendapati semua pemandu yang disemak mempunyai EVP sah berdasarkan semakan silang dengan data rekod APAD.

Kenyataan itu memaklumkan berdasarkan hasil penelitian dan penilaian semasa pihak APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), langkah penambahbaikan dan komitmen ditunjukkan kedua-dua syarikat pengendali adalah memuaskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top