Kuala Lumpur: Maxis Bhd masih boleh bekerjasama dengan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dan berkemungkinan mengambil sebahagian atau semua 28.3 peratus kepentingan yang tersedia untuk dijual oleh Straits Mobile Investments Pte Ltd dalam U Mobile, kata penganalisis.
PublicInvest Research dalam satu nota penyelidikan berkata, U Mobile dijangka mengurangkan pegangan saham asingnya kepada 20 peratus untuk sejajar dengan komitmen bagi memastikan kawalan Malaysia yang lebih besar terhadap rangkaian telekomunikasi, yang dilihat sebagai aset strategik negara.
Katanya, memandangkan intensiti modal penggunaan 5G dan pinjaman tinggi U Mobile, pihaknya percaya syarikat telekomunikasi itu memerlukan rakan kongsi strategik kukuh untuk berkongsi kos pelaburan 5G.
“Berikutan pengumuman U Mobile dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melancarkan rangkaian 5G kedua, masih tidak jelas peranan yang akan dimainkan oleh Maxis mulai sekarang.
“Kami percaya Maxis masih boleh bekerjasama dengan U Mobile dan mungkin mengambil sebahagian atau semua 28.3 peratus kepentingan yang tersedia untuk dijual oleh pemegang saham utama semasa (U Mobile), Straits Mobile Investments (kini memegang 48.3 peratus kepentingan dalam U Mobile),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




