Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) menganugerahkan biasiswa kepada 10 pelajar prasiswazah cemerlang menerusi Program Biasiswa Maxis 2025 sebagai langkah proaktif menyokong pembangunan modal insan negara.
Inisiatif ini tertumpu kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bidang kritikal lain di universiti terkemuka tempatan yang memacu pertumbuhan ekonomi digital.
Program berprestij ini mencerminkan komitmen jitu syarikat telekomunikasi itu untuk melahirkan generasi pemimpin masa depan yang bukan saja bersedia dalam arena digital, malah berdaya saing dari sudut inovasi.
Pakej biasiswa yang ditawarkan adalah komprehensif merangkumi pembiayaan yuran pengajian penuh dan elaun sara hidup bagi meringankan beban kewangan pelajar sepanjang tempoh pengajian.
Selain bantuan kewangan, penerima turut mendapat akses keutamaan kepada peluang latihan industri serta jaminan kerjaya bersama Maxis selepas tamat pengajian, tertakluk kepada syarat akademik yang ditetapkan.
Penerima dipilih berdasarkan kriteria ketat termasuk kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta sumbangan aktif kepada komuniti.
Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis, Patrick Er berkata, kumpulan penerima tahun ini mempamerkan sifat ingin tahu yang tinggi serta pemikiran matang yang amat diperlukan untuk pembangunan negara.
“Kami berbesar hati menyokong pelajar berbakat ini dan yakin dengan bimbingan serta peluang yang tepat, mereka akan berkembang menjadi pemimpin serta inovator yang memberi impak positif dalam bidang diceburi,” katanya.
Setakat ini, Maxis telah menyokong lebih 350 pelajar melalui inisiatif pendidikan ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh ekosistem digital Malaysia menerusi pembangunan bakat muda.
Menerusi pelaburan terhadap tenaga kerja sedia kecerdasan buatan (AI) ini, Maxis berhasrat memperkasa generasi pemikir dan perintis digital seterusnya yang bakal menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ekonomi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




