Keselamatan dan kebajikan para pelakon menjadi keutamaan utama sepanjang penggambaran ‘Duyung: Lagenda Aurora’, sekali gus membawa kepada perubahan ketara pada rekaan kostum duyung berbanding versi terdahulu.
Pengarah filem tersebut, Profesor Madya Datuk Dr Abdul Razak Mohaideen, berkata faktor keselamatan mendorong pasukan produksi melakukan beberapa penambahbaikan terhadap kostum berdasarkan kesesuaian dan aspek praktikal.
“Kostum lama terlalu berat sehingga Maya Karin hampir lemas sebanyak dua kali. Tambahan pula, penggambaran dilakukan di laut terbuka yang sememangnya terdedah kepada pelbagai risiko,” katanya, memetik laporan Boom.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas menilai tahap risiko, khususnya ketika menjalani penggambaran di perairan terbuka.
Katanya lagi, bahan yang digunakan dalam kostum terdahulu bersifat keras dan berat, menyebabkan pergerakan ekor duyung kelihatan tidak semula jadi.
Selain faktor teknikal, Abdul Razak menjelaskan perubahan turut melibatkan skema warna bagi memberikan impak visual yang lebih segar.
“Warna coklat yang digunakan sebelum ini kurang menonjol. Kali ini, kami menampilkan tiga watak duyung dengan warna merah, kuning dan biru supaya kelihatan lebih berwarna serta menarik secara visual di layar,” jelasnya.
Tambahnya, jalan cerita kali ini turut menuntut watak duyung untuk bergerak dan berjalan di darat.
Oleh itu, penggunaan kostum bersaiz penuh dianggap tidak praktikal kerana menyukarkan watak-watak tersebut untuk menyamar dan bergerak dalam persekitaran daratan.
Sumber: Boom!



