am@hmetro.com.my
Gua Musang : Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Lebir, dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Lebir, di sini, ditemukan kira-kira tiga meter dari lokasi terakhir mangsa tenggelam.
Mayat, Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula kira-kira jam 9.45 pagi tadi bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, mangsa dipercayai lemas dijumpai di kawasan dia dipercayai tenggelam dengan kedalaman air sungai kira-kira lima meter.
“Selepas hampir tiga jam operasi SAR, mangsa ditemukan kira-kira jam 12.45 tengah hari di lokasi terakhir mangsa hilang. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, mayat mangsa ditemukan pasukan PPDA kira-kira tiga meter dari tempat terakhir mangsa tenggelam. Operasi tamat dan ditutup pada jam 2:05 petang.
Semalam media melaporkan seorang bapa dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan anaknya yang hampir lemas di Sungai Lebir, di sini.
Mangsa, Mohamad Fakarudin berjaya menyelamatkan anaknya yang hampir lemas, namun dia kemudian tenggelam dan dipercayai dihanyutkan arus deras.
Komander Operasi, Nik Mohd Fakri Md Nawi berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.04 petang mengenai kejadian terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




