hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan di Sungai Klang berhampiran sebuah restoran di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.05 petang.
Katanya, saksi di lokasi memaklumkan ketika berada di restoran berkenaan, dia ternampak objek seperti mayat yang tersangkut pada batu dalam sungai berkenaan sebelum menghubungi polis.
“Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh membantu membawa naik jasad bayi berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati jasad berkenaan adalah bayi lelaki dan masih bertali pusat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit.
Bagaimanapun katanya, setakat ini suspek kejadian masih belum dikenal pasti dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut.
“Bedah siasat akan dilakukan di Jabatan Forensik PPUM pada 1 tengah hari, esok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd