Mayat hilang, rupanya tercampak di lereng bukit

Mayat hilang, rupanya tercampak di lereng bukit

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Kehilangan seorang penunggang motosikal sejurus terbabit nahas di Kilometer 408, Lebuhraya PLUS berhampiran Lembah Beringin, di sini, terjawab apabila mayat mangsa ditemui 300 meter dari lokasi kemalangan lapan jam selepas kejadian.

Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui dalam kawasan semak di lereng bukit kira-kira jam 7.50 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa yang bertugas sebagai polis bantuan di sebuah agensi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis menerima laporan kemalangan itu jam 6.02 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 11.30 semalam, apabila kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun terbabas dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa.

“Kereta itu kemudian terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tercampak ke lereng bukit dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala kenderaan yang terbabit nahas ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top