Mayat lelaki bertatu dalam longkang, waris 'Joseph' diminta tampil

Mayat lelaki bertatu dalam longkang, waris 'Joseph' diminta tampil

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kajang: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris kepada mayat lelaki yang ditemui di dalam longkang berhampiran Lebuhraya SILK, Sungai Ramal, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 2.22 petang berhubung penemuan mayat itu.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersama Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati mayat lelaki tidak diketahui bangsa itu berpakaian baju biru dan berseluar pendek tanpa kasut.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan juga tiada menjumpai apa-apa senjata atau barangan peribadi milik simati serta keadaan mayat tidak sempurna dan mulai membusuk,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran mendapati pada 19 Oktober lalu kira-kira jam 6.03 petang, seorang individu dirakam berjalan kaki di tepi lebuh raya dan memanjat tembok besi sebelum terjatuh ke dalam longkang.

“Bedah siasat dijalankan pada jam 11.30 pagi hari ini, oleh Pakar Patologi Hospital Kajang mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, identiti si mati masih belum dikenal pasti dan terdapat tatu berbentuk kompas bersama anak panah serta perkataan ‘JOSEPH’ di lengan kiri.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Dalam pada itu, Naazron meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Borhan Mohamad di talian 014-3289730.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top