Mayat lelaki bertatu 'ship floss' ditemukan terapung di Tasik Biru

Mayat lelaki bertatu 'ship floss' ditemukan terapung di Tasik Biru

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Rawang: Mayat lelaki dengan tanda khas tatu bertulis ‘ship floss’ di bahu kiri ditemukan terapung di Tasik Biru, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan itu kira-kira jam 8.03 pagi.

“Mangsa yang berketinggian kira-kira 170 sentimeter (cm) dan berkulit cerah ini mempunyai tanda khas iaitu tatu bertulis ‘ship floss’ di bahu kiri serta tiada kesan suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) pada lengan kiri.

“Semasa ditemukan, mangsa memakai baju berwarna coklat gelap bertulisan ‘Suppligae’, seluar jeans biru serta jam tangan jenama Seiko dengan tali berwarna hijau,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dengan ciri-ciri berkenaan diminta segera tampil membantu siasatan.

“Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dengan ciri-ciri tersebut diminta segera menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Rosli Mohd Nor di talian 013-6095744 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai supaya menghormati sensitiviti keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan sebarang imej atau maklumat tidak sah berkaitan kejadian itu di mana-mana platform media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top