am@hmetro.com.my
Kuala Kangsar: Mayat lelaki ditemukan hanyut di Sungai Chempias, di sini, hari ini selepas empat hari dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada Jumaat lalu.
Terdahulu, mayat lelaki tanpa identiti ditemukan di sungai berkenaan dalam keadaan tersangkut di bawah jambatan kereta api Kampung Punti, di sini, pada Ahad lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa berusia 35 tahun ditemui berhampiran Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, di sini, pada 1.33 tengah hari.
Menurutnya, mayat mangsa hanyut sejauh tiga kilometer dari lokasi dia kali terakhir dilihat iaitu di Kampung Pantai, Padang Ampang, di sini.
Katanya, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu mendorong keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangannya, semalam.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan semalam dan pencarian dilakukan di tempat yang dipercayai mangsa jatuh.
“Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menemui mayat mangsa, hari ini lalu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, operasi SAR berkenaan membabitkan 19 keanggotaan JBPM dan penggunaan dua bot.
© New Straits Times Press (M) Bhd




