Mayat Min akhirnya timbul di sungai

Mayat Min akhirnya timbul di sungai

am@hmetro.com.my

Kuching: Kelasi kapal warga Myanmar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari kapal di jeti Susur Jambu, Sarikei, Selasa lalu, akhirnya ditemui mati lemas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui orang awam terapung di Muara Payang, Sarikei kira-kira jam 9 pagi tadi.

Beliau berkata, berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membawanya ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) di jeti Susur Jambu untuk pengecaman.

“Mayat mangsa tiba di PKB pada jam 9.45 pagi tadi. Pemilik syarikat perkapalan mengesahkan mayat itu adalah pekerjanya iaitu seorang warga Myanmar yang terjatuh dari kapal M.V Ee Tai No 1, Selasa lalu.

“Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 6.12 pagi Selasa lalu, kapal M.V Ee Tai No 1 tiba di jeti Susur Jambu selepas melalui pelayaran dari Kuching.

Berdasarkan laporan yang dibuat oleh pihak syarikat perkapalan, kapal kargo itu singgah di jeti berkenaan untuk memunggah muatan batu.

Ketika mendekati jeti berkenaan, dua kelasi memaklumkan kepada kapten kapal, rakan mereka yang dikenali sebagai Min Wai Lin, 45, terjatuh dari kapal.

Difahamkan kelasi kapal yang lain cuba menyelamatkannya dengan melemparkan peralatan menyelamat ‘life ring buoy’ dan bertindak menurunkan bot penyelamat.

Bagaimanapun, mangsa tenggelam selepas gagal mencapai peralatan menyelamat itu dan kelasi yang menaiki bot penyelamat turut gagal mengesannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top