Mayat pemancing hanyut sejauh 28 kilometer

Mayat pemancing hanyut sejauh 28 kilometer

am@hmetro.com.my

Pekan: Lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas terjatuh bot ketika memancing bersama tiga rakan di Sungai Pahang di Sri Makmur, dekat sini, semalam, ditemukan lemas hari ini.

Mayat Fahrol, 37, ditemui kira-kira jam 9.10 pagi, tersangkut pada kayu di tepi Sungai Pahang dekat Kampung Pelak, di sini, kira-kira 28 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata mangsa dilaporkan bersama tiga rakan menaiki bot untuk memancing udang di sungai terbabit kira-kira jam satu petang, semalam.

Menurutnya, bot berkenaan dilaporkan terlanggar kayu hanyut menyebabkan mangsa tercampak ke sungai berhampiran Kampung Sungai Pinang dan tenggelam.

“Bagaimanapun tiga rakan mangsa termasuk seorang lelaki tempatan bekerja sebagai kontraktor tidak terjatuh ke sungai,

“Mereka cuba mencari dan menyelamatkan mangsa tetapi gagal.” Katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, susulan kejadian itu, rakan mangsa membuat laporan kehilangan lelaki terbabit di Balai Polis Paloh Hinai, jam 4:42 petang semalam.

Menurutnya, sejurus laporan itu operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung dilancarkan.

Menurutnya, ketika ditemui mayat lelaki terbabit lengkap berpakaian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top