am@hmetro.com.my
Dungun: Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditemui lemas ketika mandi bersama sembilan rakannya di Air Terjun Tasik Puteri, dekat sini, pagi hari ini.
Mangsa, Amirul Danish Zamri, 19, yang merupakan penuntut tahun satu Kejuruteraan Mekanikal dari Kampung Seberang Pintasan, di sini, ditemui pada 12.45 tengah hari oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) Mohd Izzuddin Mahmood berkata, mangsa dikatakan mandi bersama sekumpulan rakannya di situ.
“Mangsa dikatakan lemas secara tiba-tiba sebelum rakan mangsa menghubungi pasukan bomba pada 11.18 pagi.
“Sepasukan 10 anggota dari BBP AMBS dengan dibantu dua anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Berang bergegas ke tempat kejadian,” katanya.
Mohd Izzuddin berkata, mangsa ditemui selepas hampir 12 minit selaman pertama dilakukan oleh anggota Unit PPDA.
“Mangsa ditemui di dasar air terjun terbabit iaitu pada kedalaman kira-kira tujuh meter,” katanya.
Menurutnya, mayat Mohd Izzuddin kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




