Mayat wanita dalam beg: Isu kewangan mungkin motif bunuh, suami Suri ditahan

Mayat wanita dalam beg: Isu kewangan mungkin motif bunuh, suami Suri ditahan

Kuala Lumpur: Isu kewangan mungkin punca membawa kepada pembunuhan seorang wanita yang mayatnya semalam ditemui dalam beg ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas–Linggi, Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata siasatan awal polis turut menjurus perkara itu dan siasatan masih dijalankan.

Menurutnya, soal siasat lanjut akan dijalankan terhadap suspek utama yang juga suami kepada wanita dikenali Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember.

Suspek utama itu ditahan di kawasan Genting Sempah, Selangor, petang tadi.

“Bedah siasat yang selesai dijalankan hari ini menunjukkan mangsa maut akibat dicekik.

“Setakat ini identiti wanita berkenaan masih belum dapat disahkan memandangkan proses pengecaman memerlukan masa,” katanya.

Muhammad Idzam berkata, wajah mangsa dalam keadaan yang sukar dikenal pasti menyulitkan pengecaman, menyebabkan pengesahan identiti belum dapat dibuat ketika ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top