Mayat wanita dalam beg: Suspek lelaki ditahan di Melaka, direman 7 hari

Mayat wanita dalam beg: Suspek lelaki ditahan di Melaka, direman 7 hari

am@hmetro.com.my

Seremban: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah dekat Kampung Batu 4, Pedas, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, suspek seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan di Melaka, petang semalam.

“Susulan penemuan mayat wanita di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni dekat Pedas, semalam, pihak kami menggerakkan pasukan untuk mengesan suspek.

“Hasil risikan dan siasatan yang dijalankan, kami berjaya mengesan suspek di satu lokasi di Melaka sebelum menahannya kurang 12 jam daripada penemuan mayat berkenaan,” katanya, hari ini.

Jelas beliau, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin, Tampin, pagi tadi untuk permohonan reman.

“Majistret membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Disember depan bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Jelas beliau, bedah siasat sedang dijalankan pagi ini di Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi mengenalpasti identiti mangsa dan punca kematian.

“Buat masa ini pihak kami menunggu laporan bedah siasat dan pengecaman daripada ahli keluarga sebelum menjalankan siasatan lanjut mengenai kaitan suspek dengan mangsa.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.

Media semalam melaporkan, polis mengesahkan mayat yang ditemui di luar kawasan sebuah rumah itu adalah seorang wanita yang disyaki berkait dengan laporan orang hilang di daerah Ampang, Selangor.

Kelmarin, dilaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Khairul Anuar Khalid dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Suri Narudin, 53, daripada ibu saudaranya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top