Kuantan: Mayat wanita tanpa identiti ditemukan terapung dan tersangkut pada tali pelampung pukat di Sungai Kuantan dekat Jalan Besar di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada orang awam pada 12.38 tengah hari.
“Wanita dianggarkan berusia 30-an itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terapung dengan berbaju merah dan memakai seluar pendek putih bercorak hitam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan pada mayat itu menemukan kesan calar berdarah pada dahi namun tiada kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
Ashari berkata, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




