Mayat wanita hampir reput dijumpai di tepi pantai

Mayat wanita hampir reput dijumpai di tepi pantai

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Mayat wanita dipercayai warga asing hampir reput ditemukan di tepi pantai Kampung Tumbuk Tanjung Sepat, Kuala Langat, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu jam 12.46 tengah hari.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mayat wanita dipercayai warga asing dan berada dalam keadaan terbaring di tepi pinggiran pantai.

“Pemeriksaan fizikal mendapati tubuh badannya sudah mula mereput dan tiada sebarang unsur jenayah pada mayat serta lokasi kejadian.

“Polis sudah berusaha membuat pengesanan waris dan kenalannya namun sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil bagi tujuan pengecaman dan tuntutan serta pengurusan mayat terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi polis bagi membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Ketua Polis Balai Tanjung Sepat, Sarjan Muhamammad Nur Haziq Norizan,” katanya.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top