Maybank optimis jalin kerjasama pelbagai sektor dengan Media Prima

Maybank optimis jalin kerjasama pelbagai sektor dengan Media Prima

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) optimis untuk menjalinkan kerjasama dengan Media Prima Berhad (MPB) dalam beberapa sektor termasuk teknologi digital.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, beliau berterima kasih kepada pasukan MPB atas lawatan pihaknya di Balai Berita, di sini, hari ini.

“Menerusi lawatan ini, kami memahami dan mengetahui mengenai servis ditawarkan MPB serta anak syarikat di bawahnya.

“Dari situ, kami boleh menerokai kerjasama dengan Media Prima dalam sektor relevan memandangkan Maybank adalah bank terbesar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan pihak pengurusan tertinggi Maybank di Balai Berita, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Shafiq Abdul Jabbar; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Rosli Sabarudin.

Khairussaleh berkata, beliau tertarik dengan servis kepada pelanggan yang ditawarkan Media Prima serta anak syarikatnya menggunakan teknologi digital.

“Apa yang saya lihat menerusi lawatan hari ini adalah servis digital Media Prima yang mungkin kami boleh gunakan serta menerokai peluang bagi menjalinkan kerjasama.

“Dari segi laporan (berita), kita sudah ada kerjasama dengan Media Prima. Mungkin selepas ini, kita boleh adakan kerjasama dengan stesen radio Media Prima pula.

“Pada masa sama, kita juga melihat peluang untuk memperluaskan pemasaran syarikat ini dengan Media Prima,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama jemputan lain turut meluangkan masa melawat ke Pusat Arkib The New Straits Times Press (NSTP) atau dikenali sebagai KLIK.

Beliau turut melawat studio TV3 serta konti radio Media Prima Audio yang menempatkan rangkaian Hot FM, Kool 101, Molek Fm, Fly Fm dan Eight Fm.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top