Maybank tawar ganjaran eksklusif kepada pelanggan kad

Maybank tawar ganjaran eksklusif kepada pelanggan kad

zahrin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Maybank menganjurkan ‘Virtual Treats Fair’ (VTF) bermula pada 23 hingga 25 April ini yang bakal memberikan pelanggan kad setianya tawaran hebat dan eksklusif ketika berbelanja.

VTF kali ini juga akan menjalin kerjasama dengan Manchester United megastore, pusat membeli-belah Pavilion KL serta lebih 130 perniagaan termasuk jenama utama lain seperti Dyson, Samsung, Apple, Mulberry, Furla dan Vivo.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan, berkata kepelbagaian tawaran menarik kali ini memberikan lebih peluang kepada pelanggan menikmati Treat Points dan Membership Rewards Points.

“Kami menerima maklum balas positif dan ini menginspirasikan kami untuk menjadikan pesta tahunan ini lebih besar dengan tawaran yang lebih baik serta kepelbagaian barangan dan jenama.

“Kami menjangkakan lebih daripada 200,000 pelawat akan menyertai VTF dengan sasaran jualan meningkat dua kali ganda daripada tahun lalu dengan dengan sekurang-kurangnya 1.5 bilion mata ganjaran akan ditebus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, pemegang kad Maybank yang berbelanja RM200 ke atas semasa VTF ini juga akan menerima diskaun tambahan serta layak untuk menyertai Roda Virtual Treats bagi memenangi e-baucar. Terdapat lebih daripada 10,000 baucar diskaun turut akan ditawarkan.

Naib Presiden Eksekutif Kanan Maybank, B. Ravintharan, berkata VTF kali ini menawarkan pengalaman baru kepada pemegang kad.

“Setiap tahun, kami sentiasa memberikan kelebihan dan keunikan bagi memberi pemegang kad kami yang setia suatu pengalaman yang berbeza serta membolehkan mereka memperolehi lebih nilai daripada Mata Ganjaran Maybank mereka.

“Buat pertama kalinya, Maybank akan membawa Manchester United megastore. Pemegang kad boleh menggunakan Mata Ganjaran Maybank untuk menebus barangan rasmi Manchester United pada harga istimewa termasuk caj pengantaran atau mereka boleh menebus e-baucar menerusi Manchester United megastore dalam talian,” katanya.

Maybank juga akan membawa pusat membeli-belah Pavilion KL secara maya dengan penyertaan 10 outlet termasuk jenama fesyen dan juga mewah seperti Karl Lagerfeld, Michael Kors, Mulberry, Furla dan Make Up Forever.

Pemegang kad boleh menebus mata ganjaran di outlet ini menerusi Mata Ganjaran Maybank dan barang-barang yang dibeli akan dihantar terus ke depan pintu rumah mereka.

Bagi meraikan Ramadan dan Hari Raya yang bakal tiba, VTF juga menganjurkan e-Bazar yang akan menjual pelbagai barangan keperluan serta juadah perayaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top