New York: Floyd Mayweather dilaporkan berdepan risiko kehilangan pasportnya akibat tunggakan cukai tidak dibayar melebihi AS$7.25 juta (RM28.7 juta), menurut satu laporan mengejutkan.
Mike Coppinger dari Ring Magazine mendakwa Mayweather, yang meraih lebih AS$1 bilion (RM3.9 bilion) sepanjang kariernya selaku petinju profesional, dimaklumkan oleh Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) mengenai hasrat mereka untuk menarik balik pasportnya berhubung hutang cukai tertunggak yang serius.
Sensasi berusia 49 tahun itu masih boleh mengelakkan tindakan itu dengan melunaskan hutang sepenuhnya atau mencapai persetujuan bayaran ansuran atau penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).
Pilihan lain termasuk membuktikan bahawa hutang cukainya tidak boleh dikutip atas sebab kekangan kewangan, menjadi mangsa kecurian identiti, atau memfailkan kebankrapan.
IRS dilaporkan sudah memaklumkan hasrat itu kepada Jabatan Negara pada penghujung Mac, hampir sebulan sebelum beliau mengumumkan perlawanan pertunjukan menentang petarung Greece, Mike Zambidis di Athens.
Perlawanan yang dijadualkan pada 27 Jun itu kini dilaporkan berada dalam bahaya berikutan isu dihadapi Mayweather.
Media juga sudah menghubungi peguam Mayweather, Bobby Samini, untuk mendapatkan komen.
Walaupun meraih pendapatan berbilion dolar sepanjang kariernya, atlet dari Michigan yang menetap di Nevada itu turut disaman pada Februari lalu oleh pemilik kondominium mewahnya di New York sebanyak AS$330,000 (RM1.3 juta).
Beliau menandatangani sewaan pada Disember 2024, namun berhenti membayar sewa sejak Julai 2025, menurut saman yang difailkan.
Dalam tempoh beliau didakwa tidak membayar sewa itu, Mayweather turut memuat naik gambar dirinya di jet peribadi dikelilingi wang tunai dengan kapsyen: “Saya hanya urus hal sendiri!”
© New Straits Times Press (M) Bhd




