MB Johor puji JDT bersikap profesional

MB Johor puji JDT bersikap profesional

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memuji pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menunjukkan komitmen dan profesionalisme untuk tetap meneruskan perlawanan Sumbangsih walaupun berdepan risiko ancaman keselamatan.

Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa  juara bertahan Liga Super itu yakin dengan jaminan yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong merupakan keutamaan.

“Kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya dan sentiasa memandang serius terhadap beberapa insiden yang telah menimpa pemain seperti Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim sejak kebelakangan ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu-isu yang menggugat keharmonian dan keselamatan di negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badan penganjur liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan aksi Piala Sumbangsih antara JDT dengan Selangor FC yang dijadualkan esok di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di sini, dibatalkan.

MFL dalam satu kenyataan mengesahkan aksi yang juga perlawanan pertama Liga Super membabitkan kedua-dua kelab berakhir dengan kemenangan 3-0 kepada JDT selepas Selangor melakukan walkover.

Semalam, pasukan The Red Giants mengumumkan untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT setelah MFL memutuskan untuk tetap meneruskan perlawanan yang dijadualkan itu.

Selangor FC dalam kenyataan rasmi menyatakan mereka membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira keselamatan pemain dan pegawai yang menjadi keutamaan pasukan itu walaupun MFL mahu meneruskan perlawanan itu.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut berasa terkilan dengan keputusan skuad The Red Giants itu walaupun Polis Johor telah bersetuju untuk mengarahkan 1,500 anggota polis untuk memantau aspek keselamatan pada perlawanan ini.

“Semoga penyokong JDT tidak berputus asa dan tetap menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta mengekalkan profesionalisme dalam memberikan sokongan penuh kepada pasukan JDT dalam setiap perlawanan-perlawanan yang akan datang,” ujarnya. – UTUSAN